PETALING JAYA: Enam lelaki berdepan hukuman penjara 40 tahun atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM8 juta, dua minggu lalu.
Tertuduh A. Ravichandran, 45; R. Elanggovan, 45; M. Jeyaraj, 43; Moses De Britto a/l John Patrick, 40; Ziyauddin, 33, dan Muhammad Afiq Safine, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh.
Mereka bersama-sama tujuh lagi individu yang masih bebas didakwa menculik seorang ahli perniagaan dengan niat meminta wang tebusan RM8 juta di sebuah restoran di Dataran Sunway pada pukul 5.15 petang, 16 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan ia kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun barisan peguam tertuduh merayu anak guam mereka dikenakan jaminan sementara menunggu rayuan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin selain menetapkan kes untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 11 September ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berjaya diselamatkan polis dalam tempoh 24 jam selepas dipercayai diculik sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan RM7 juta.
Mangsa diselamatkan menerusi satu operasi khas di sebuah unit kediaman di Shah Alam pada pukul 1 pagi.
Susulan kejadian itu, polis menahan beberapa suspek dengan dua antaranya iaitu seorang lelaki dan wanita dibebaskan serta dijadikan saksi pendakwaan dengan mengikat bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.-UTUSAN










