OCBC Malaysia, CGC meterai kerjasama jaminan RM1.3 bilion bantu PKS - Utusan Malaysia

OCBC Malaysia, CGC meterai kerjasama jaminan RM1.3 bilion bantu PKS

TAN Chor Sen (belakang, tengah) dan Mohamed Nazri Omar (belakang, kanan) semasa menyaksikan majlis pemeteraian MoU berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OCBC Malaysia memeterai kerjasama jaminan baharu bernilai RM1.3 bilion bersama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) bagi memperluas pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Peruntukan terbaharu itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 PKS, sekali gus meningkatkan keseluruhan liputan jaminan pembiayaan OCBC Malaysia bersama CGC kepada RM5.5 bilion.

Menerusi kerjasama jangka panjang berkenaan, OCBC Malaysia yang merangkumi OCBC Bank (Malaysia) Berhad dan OCBC Al-Amin Bank Berhad sebelum ini telah menyokong lebih 10,000 PKS menerusi pembiayaan bernilai RM4.2 bilion bersandarkan jaminan CGC.

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Malaysia, Tan Chor Sen berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bank untuk memperkasakan PKS tempatan dalam mendepani persekitaran perniagaan yang dinamik.

“Sambil keperluan berubah, capaian kepada sokongan kewangan yang sewajarnya amat penting untuk membina daya tahan, meningkatkan daya saing dan memacu kejayaan jangka panjang.

“Menerusi kerjasama dengan CGC, kami memudahkan PKS untuk mendapatkan penyelesaian fleksibel dan responsif yang menyokong perniagaan pada peringkat pertumbuhan berbeza,” katanya dalam kenyataan.

Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Ketua Perniagaan Sedang Berkembang OCBC Malaysia, Chan Kok Leong dan Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Sean Tan di Menara OCBC. 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohamed Nazri Omar berkata, pakatan strategik itu membuktikan bagaimana kerjasama institusi mampu membuka peluang pembiayaan bermakna bagi syarikat yang berdaya maju tetapi dikekang masalah cagaran.

“Dengan menggabungkan capaian pasaran OCBC dengan kepakaran jaminan CGC, kami membina ekosistem pembiayaan lebih kukuh yang membolehkan lebih banyak PKS memainkan peranan bermakna dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Pembiayaan RM1.3 bilion itu dibuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada OCBC Malaysia, khususnya komuniti Bumiputera, selain turut menyediakan skim menyokong segmen bersasar di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SRF) Bank Negara Malaysia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN