PETALING JAYA: Program Mobiliti Antarabangsa Accountants Beyond Borders 2026 berjaya memperkukuhkan pembangunan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi gabungan pengalaman akademik, profesional, industri, komuniti dan budaya sepanjang enam hari penganjurannya di Pekanbaru dan Dumai, Indonesia, baru-baru ini.
Program yang berlangsung dari 8 hingga 13 Jun itu melibatkan 21 pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), UMK.
Menariknya, keseluruhan program dirancang, diselaras dan dilaksanakan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri dengan bimbingan pensyarah pengiring, sekali gus memberi pengalaman kepimpinan dan pengurusan yang bernilai kepada para peserta.
Pengarah Program, Muhammad Aniq Iskandar Heirman berkata, pendekatan tersebut membolehkan pelajar bukan sahaja berperanan sebagai peserta, malah menjadi penganjur, penyelaras serta wakil universiti dalam mengendalikan program di peringkat antarabangsa.
“Pengalaman ini membantu membangunkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan program, hubungan antarabangsa dan kerja berpasukan yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan masa kini,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran program itu selari dengan aspirasi Naib Canselor UMK, Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah yang menekankan agenda pengantarabangsaan universiti serta usaha melahirkan graduan berdaya saing, berfikiran global dan mempunyai pendedahan luas terhadap persekitaran antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan program tersebut turut didorong oleh sokongan Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Madya Dr. Dzulkifli Mukhtar yang sentiasa menggalakkan pengukuhan jaringan antarabangsa, kolaborasi strategik dan pembangunan mahasiswa di peringkat global.
Sepanjang program berlangsung, para peserta mengadakan lawatan akademik ke Universitas Muhammadiyah Riau (UMRI), Universitas Riau (UNRI), Universitas Dumai (UNIDUM) dan Universitas Awal Bros bagi memahami sistem pendidikan tinggi serta peluang kerjasama akademik antara kedua-dua negara.
Pelajar turut menghadiri sesi profesional bersama Ikatan Akuntan Indonesia (IAI) Wilayah Riau untuk mendalami struktur profesion perakaunan di Indonesia, peranan badan profesional serta laluan pembangunan kerjaya bagi bakal akauntan.

Selain itu, delegasi UMK mengadakan kunjungan ke Konsulat Malaysia dan Pejabat Pemerintah Kota Pekanbaru bagi memahami peranan institusi kerajaan dalam pembangunan masyarakat serta hubungan diplomatik dan kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia.
Pendedahan industri pula diperoleh menerusi lawatan ke PT Adei Plantation & Industry, anak syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), PT Pertamina Patra Niaga Refinery Unit Dumai dan PT Pelabuhan Indonesia (Persero) atau Pelindo Dumai.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada peserta memahami operasi sektor perladangan, tenaga, petroleum, logistik dan perdagangan antarabangsa secara lebih dekat.
“Pelajar dapat melihat sendiri bagaimana aspek tadbir urus, pengurusan risiko, pengurusan kos, pembangunan mampan dan tanggungjawab sosial korporat dilaksanakan dalam organisasi berskala besar,” katanya.
Di Universitas Dumai, peserta menyertai forum berkaitan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia serta Usaha Mikro, Kecil dan Menengah (UMKM) di Indonesia.
Forum itu menghimpunkan mahasiswa kedua-dua negara untuk membincangkan cabaran, peluang dan potensi kerjasama rentas sempadan dalam sektor keusahawanan.
Dalam aspek tanggungjawab sosial, pelajar UMK melaksanakan program pemindahan ilmu bersama usahawan UMKM di Rumah BUMN Dumai.
Lebih membanggakan, modul asas perakaunan yang digunakan dibangunkan sendiri oleh mahasiswa UMK sebelum mereka bertindak sebagai penceramah dan fasilitator kepada para peserta.
Mereka berkongsi pengetahuan berkaitan penyediaan rekod kewangan, pengurusan aliran tunai, buku tunai dan amalan pengurusan kewangan yang baik, sekali gus membuktikan mahasiswa bukan sekadar penerima ilmu, malah mampu berperanan sebagai agen pembangunan komuniti.

Delegasi turut mengadakan kunjungan ke Bank Riau Kepri Syariah, Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kota Dumai serta Lembaga Adat Melayu Riau (LAM) bagi memahami sistem kewangan, pentadbiran awam dan warisan budaya masyarakat setempat.
Menurut Muhammad Aniq, program tersebut membuktikan kerjasama akademik dan profesional antara Malaysia serta Indonesia semakin berkembang apabila pelbagai institusi di negara jiran itu membuka ruang kepada kunjungan delegasi mahasiswa UMK.
“Apa yang lebih membanggakan, terdapat institusi yang memaklumkan bahawa ini merupakan antara kunjungan pertama yang diterima daripada delegasi pelajar universiti Malaysia.
“Kepercayaan yang diberikan ini menjadi simbol hubungan erat antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan, profesional dan industri,” katanya.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama erat daripada Kamar Dagang dan Industri (KADIN) Kota Dumai yang membantu menghubungkan delegasi UMK dengan pelbagai institusi kerajaan, industri, organisasi profesional dan komuniti sepanjang program berlangsung.
Selain pengisian akademik dan profesional, peserta turut mengikuti pelbagai aktiviti kebudayaan, sosial dan kesukanan termasuk lawatan ke Dumai Islamic Center, tayangan filem Indonesia, majlis makan malam bersama pimpinan KADIN Kota Dumai serta perlawanan bola sepak persahabatan menentang mahasiswa Universitas Dumai.
Muhammad Aniq menyifatkan Accountants Beyond Borders 2026 sebagai platform pembangunan mahasiswa yang menggabungkan pembelajaran global, pendedahan industri, pembangunan profesional, pemindahan ilmu, pertukaran budaya dan pembinaan jaringan antarabangsa.
“Program seperti ini membantu melahirkan graduan yang lebih berdaya saing, memiliki kemahiran insaniah yang tinggi, berfikiran global dan mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa yang semakin mencabar,” katanya.-UTUSAN










