12 atlet, tiga pegawai Thailand dirujuk Jawatankuasa Tatatertib ISTAF

12 atlet, tiga pegawai Thailand dirujuk Jawatankuasa Tatatertib ISTAF

HALIM KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan meninggalkan perlawanan dalam aksi Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF 2026 membawa padah apabila 12 atlet dan tiga pegawai Thailand dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, selepas Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu mengadakan Mesyuarat Khas pada 30 Mei lalu bagi meneliti insiden membabitkan Perlawanan No. 69 antara Thailand dan Malaysia dalam acara Regu Berpasukan.

Menurut beliau, rujukan tersebut dibuat susulan tindakan delegasi Regu Berpasukan Thailand meninggalkan perlawanan secara sengaja semasa Regu Ketiga, sekali gus mencetuskan siasatan menyeluruh berdasarkan laporan pegawai perlawanan dan pegawai teknikal.

“Jawatankuasa Eksekutif sebulat suara memutuskan supaya semua 12 atlet yang berdaftar serta tiga pegawai Thailand dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan rasmi ISTAF.

Beliau menegaskan, rujukan itu turut merangkumi mana-mana individu yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam keputusan meninggalkan perlawanan tersebut, sama ada di dalam mahupun di luar gelanggang.

Jelasnya, langkah itu bukan satu keputusan bersalah, sebaliknya bagi membolehkan siasatan terperinci, adil dan bebas dijalankan sebelum sebarang tindakan tatatertib diputuskan.

“Semua pihak akan diberi ruang untuk mengemukakan penjelasan, bukti dan representasi masing-masing kepada Jawatankuasa Tatatertib,” katanya lagi.

Dalam masa sama, ISTAF menggesa komuniti Sepaktakraw antarabangsa supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan sehingga proses tatatertib selesai.

“ISTAF kekal komited memastikan sukan ini ditadbir secara berintegriti, adil dan berakauntabiliti,” katanya.

ISTAF dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut selepas proses tatatertib selesai dan mengikut peraturan sedia ada.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN