KUALA LUMPUR: Pendekatan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pembinaan akan diperkukuh melalui keseimbangan antara teori dan praktikal serta pendedahan kepada teknologi moden.
Pengurus Besar Kanan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Suhaimi Mansor berkata, pelbagai kemudahan diberikan kepada pelatih termasuk latihan kompetensi, pensijilan kemahiran, fasiliti latihan bertaraf industri serta sokongan penempatan pekerjaan.
Katanya, ia bagi memastikan graduan benar-benar bersedia memasuki alam pekerjaan dan kekal relevan dalam industri yang semakin berkembang.
“Pihak industri digalakkan terus bekerjasama dengan institusi TVET bagi menyerap graduan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, selari dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh ekosistem TVET melalui peningkatan standard kemahiran dan kerjasama strategik industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 12 graduan menerima Anugerah Graduan Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan kecemerlangan mereka sepanjang mengikuti latihan TVET Pembinaan.
CIDB turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sembilan rakan industri strategik sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan kerjasama berterusan mereka dalam menyokong pembangunan tenaga kerja mahir negara.
Selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya, CIDB sedang membangunkan kampus baharu Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sabah di Kampung Beringgis, Papar dengan kos pembangunan RM130.6 juta sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan modal insan TVET Pembinaan di Sabah.
“Ia dibangunkan di atas tanah seluas 50 ekar dan dijangka siap pada 2027, kampus tersebut bakal menjadi kampus ABM antara terbesar di Malaysia serta mampu menampung sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa, sekali gus meningkatkan kapasiti latihan belia dan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri pembinaan negara.
“Inisiatif ini dijangka meningkatkan kapasiti latihan serta memperluas penggunaan teknologi dalam latihan kemahiran, selaras dengan keperluan industri pembinaan yang semakin dinamik,” katanya.
Suhaimi berharap belia menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya selaras dengan keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir dan berdaya saing. – UTUSAN










