Myanmar syor hukuman mati terhadap dalang penipuan siber

Myanmar syor hukuman mati terhadap dalang penipuan siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Myanmar hari ini menerbitkan rang undang-undang parlimen yang mencadangkan hukuman mati terhadap individu yang menahan atau memaksa mangsa bekerja di pusat penipuan dalam talian secara ganas.

Rang undang-undang itu menyasarkan aktiviti jenayah berkaitan pusat penipuan internet yang semakin berkembang di negara dilanda konflik tersebut, sebahagian daripada rangkaian ekonomi penipuan di Asia Tenggara yang menyasarkan pengguna internet di seluruh dunia melalui skim cinta dan pelaburan mata wang kripto.

Menurut laporan, industri haram bernilai berbilion dolar itu bukan sahaja menarik pekerja secara sukarela, malah terdapat juga kes warga asing yang mendakwa mereka diperdagangkan ke Myanmar serta menjadi mangsa penderaan oleh sindiket berkenaan sebelum diselamatkan atau dihantar pulang.

Draf berkenaan memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan ‘keganasan, penyeksaan, penahanan atau penangkapan secara tidak sah, atau layanan kejam terhadap individu lain bagi tujuan memaksa mereka melakukan penipuan dalam talian’.

Rang Undang-Undang Anti Penipuan Dalam Talian turut memperuntukkan hukuman maksimum penjara seumur hidup terhadap individu yang mengendalikan pusat penipuan dalam talian dan mereka yang melakukan penipuan mata wang digital.

Parlimen Myanmar yang disokong tentera dijadualkan bersidang semula pada minggu pertama Jun.

Perang saudara yang tercetus susulan rampasan kuasa tentera pada 2021 mencetuskan ketidakstabilan di seluruh Myanmar, yang menurut badan pemantau mewujudkan keadaan sesuai bagi kumpulan jenayah terancang beroperasi di kawasan berkubu.

Mangsa di Amerika Syarikat (AS) sahaja dilaporkan mengalami kerugian lebih AS$20 bilion (RM78.5 bilion) akibat skim penipuan demikian tahun lalu, menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Menurut penganalisis, kegiatan pusat penipuan dalam talian itu turut meningkatkan ketegangan dengan negara jiran, China, yang semakin berang dengan jumlah rakyatnya yang mengasaskan pusat penipuan, bekerja di dalamnya serta menjadi mangsa sindiket berkenaan.

Sepanjang lima tahun perang saudara di Myanmar, China dilaporkan beberapa kali menyokong kedua-dua pihak iaitu kumpulan pemberontak dan tentera, bergantung kepada kepentingan keselamatan serta ekonominya, menurut badan pemantau.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN