TAWAU: Seramai 28 warga asing termasuk dua wanita didenda RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan penipuan “love scam” dan pelaburan saham dalam talian.
Kesemua tertuduh berusia antara 21 hingga 51 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Vietnam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin.
Pengakuan bersalah itu dibuat di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum dan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di dua mahkamah berasingan.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh melakukan kesalahan di sisi undang-undang dengan memperdaya mangsa penipuan “love scam” dan pelaburan penjualan produk kegunaan harian dalam talian yang menyasarkan warganegara Korea, di empat banglo mewah, di Indah Regency Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas, pukul 9.20 pagi, 6 Mei lalu.
Kesalahan itu bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, peguam Choong Wen Shan yang mewakili semua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap tertuduh selaras permohonan rundingan pengakuan salah di bawah Seksyen 172C Kanun Prosedur Jenayah.
Beliau memaklumkan permohonan itu sudah dimaklumkan dan dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif termasuk dokumen persetujuan berkaitan turut ditandatangani semua tertuduh terbabit.
Katanya, kesalahan itu juga adalah kesalahan pertama mereka dan semua tertuduh berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Majistret Don Stiwin Malanjum kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang terhadap 16 tertuduh atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Dayang Aidaku, 12 lagi dijatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh dan memerintahkan mereka dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.
Kesemua tertuduh turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas membayar denda atau selesai menjalani hukuman penjara.
Mahkamah turut memerintahkan barang kes dilupuskan selepas tamat tempoh rayuan.
6 Mei lalu, semua tertuduh sebelum ini ditahan dalam operasi pasukan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau bersama Strike Team dan Task Force Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tawau.
Hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan beberapa platform media sosial termasuk Telegram, WhatsApp dan KakaoTalk dengan sasaran utama warga Korea. –UTUSAN










