Tiada satu dolar disalurkan ke dana Gaza

Tiada satu dolar disalurkan ke dana Gaza

PRESIDEN AS, Donald Trump (kiri) menyampaikan ucapan semasa mesyuarat sulung Lembaga Keamanan di Institut Keamanan AS di Washington pada 19 Februari lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lembaga Keamanan Gaza yang dipimpin Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berdepan krisis dalaman selepas dana pembinaan semula di bawah badan itu dilaporkan masih belum menerima sebarang wang penderma, walaupun terdapat komitmen bantuan berjumlah AS$17 bilion (RM67 bilion).

Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada badan yang disokong AS itu hanya ‘projek politik kosong’.

Menurut Financial Times, dana yang diuruskan Bank Dunia untuk badan tersebut tidak menerima sebarang sumbangan penderma sejak ia ditubuhkan empat bulan lalu.

“Tiada satu dolar pun didepositkan,” kata seorang individu yang mengetahui perkara tersebut.

Kegagalan itu berlaku walaupun negara anggota menjanjikan AS$7 bilion (RM27.7 bilion) bagi pakej ‘bantuan Gaza’, manakala Trump berjanji AS$10 bilion (RM39.6 bilion) tambahan daripada AS.

Berbanding menggunakan mekanisme Bank Dunia yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta tertakluk kepada kepada keperluan pelaporan, derma itu dilaporkan disalur melalui akaun JPMorgan.

Pengaturan itu menimbulkan kebimbangan serius kerana tiada peraturan pendedahan bebas yang terpakai pada akaun persendirian tersebut.

Seorang pegawai Lembaga Keamanan memberitahu Financial Times, beberapa pilihan diwujudkan untuk menerima dana dan penderma memilih ‘pilihan lain’.

Pegawai itu mendakwa, lembaga tersebut akan melaporkan kewangannya kepada lembaga eksekutif sendiri, terdiri daripada pegawai dan penasihat pentadbiran Trump, pada masa yang dianggap sesuai.

Dana terhad yang disalurkan pula dilaporkan hanya memberi impak kecil dalam menangani kemusnahan di Gaza.

Sumbangan Maghribi sebanyak AS$20 juta (RM79 juta) dikatakan membantu membiayai pejabat wakil tinggi lembaga itu, Nickolay Mladenov, serta gaji jawatankuasa teknokrat Palestin yang ditubuhkan untuk mentadbir wilayah tersebut.

Sumbangan berasingan sebanyak AS$100 juta daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melatih pasukan polis baharu Gaza pula belum digunakan, dengan program itu belum bermula dan dana masih dibekukan.

Dalam pada itu, janji dana daripada AS juga belum direalisasikan di lapangan, dengan Jabatan Negara bercadang mengalihkan kira-kira AS$1.2 bilion (RM4.7 bilion) perbelanjaan bantuan kepada projek berkaitan agenda lembaga.

Namun, dana tersebut belum dibelanjakan dan tidak akan diuruskan secara langsung oleh lembaga berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN