Thailand kuat kuasa kuarantin 21 hari cegah penularan Ebola

Thailand kuat kuasa kuarantin 21 hari cegah penularan Ebola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand mengenakan perintah kuarantin selama 21 hari bermula Selasa terhadap individu yang tiba atau pernah transit di Republik Demokratik Congo dan Uganda, susulan penularan wabak Ebola yang semakin serius di rantau itu.

Wilayah timur Congo kini menjadi pusat penularan wabak Ebola yang mencetuskan amaran kesihatan antarabangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sejak wabak itu diisytiharkan di Kinshasa pada 15 Mei lalu, sebanyak 20 kematian dan 867 kes disyaki Ebola direkodkan, menurut Kementerian Kesihatan Congo pada hujung minggu lalu.

Di negara jiran, Uganda, seorang dilaporkan maut manakala enam lagi disahkan dijangkiti Ebola.

Kementerian Kesihatan Thailand dalam kenyataan semalam memaklumkan, semua pengembara yang mempunyai gejala atau tiada simptom jangkitan Ebola diwajibkan menjalani kuarantin sekurang-kurangnya 21 hari.

Ebola adalah penyakit virus berbahaya yang merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan dan boleh menyebabkan pendarahan teruk serta kegagalan organ.

Thailand belum merekodkan sebarang kes pengembara dijangkiti Ebola, namun risiko penularan tetap wujud susulan pergerakan penduduk global, kata pegawai kanan Kementerian Kesihatan negara itu, Somlerk Jeungsmarn, dalam kenyataan berkenaan.

Menurut kementerian, individu yang menunjukkan simptom Ebola diwajibkan menjalani kuarantin di hospital kerajaan yang ditetapkan, manakala mereka yang tidak bergejala akan ditempatkan di pusat kuarantin khas.

WHO merekodkan 10 kematian Ebola yang disahkan serta 220 lagi kematian disyaki di DRC sejak pertengahan Mei, selain hampir 900 kes disyaki dilaporkan.

Katanya, penularan sebenar virus itu berkemungkinan jauh lebih meluas kerana dipercayai sudah merebak tanpa dikesan sejak beberapa ketika lalu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN