Temu didenda lebih RM900 juta kerana produk haram

Temu didenda lebih RM900 juta kerana produk haram

TEMU didenda Kesatuan Eropah kerana menjual produk haram. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS/KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) mengenakan denda sebanyak 200 juta euro (RM923 juta) terhadap peruncit dalam talian milik China, Temu, pada Khamis kerana membenarkan penjualan produk haram termasuk mainan bayi berbahaya dan pengecas rosak, lapor agensi berita AFP.

“Syarikat itu gagal mengenal pasti, menganalisis dan menilai secara teliti risiko sistemik produk haram yang ditawarkan di platformnya serta kesan mudarat kepada pengguna di EU,” kata blok ekonomi tersebut.

Menurut pengawal selia EU, pengguna di Eropah berkemungkinan besar menemukan barangan haram di Temu dan syarikat itu memandang remeh kekerapan pengguna blok tersebut berdepan produk sedemikian.

Temu sangat popular di EU dengan 130 juta pengguna selepas memasuki pasaran blok itu pada 2023.

Namun, syarikat itu berdepan penelitian ketat sejak Oktober 2024 apabila EU membuka siasatan yang secara awal mendapati Temu melanggar peraturan penting berkaitan risiko penjualan produk haram.

“Temu ialah pemain yang sangat besar dalam pasaran Eropah,” kata Pesuruhjaya Teknologi EU, Henna Virkkunen kepada wartawan.

Beliau menambah, saiz syarikat itu menyebabkan sebahagian besar pengguna EU terdedah kepada produk haram tersebut.

Denda pada Khamis itu merupakan yang kedua dikenakan di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA) EU terhadap kandungan, selepas platform X milik hartawan Elon Musk dikenakan denda 120 juta euro (RM555 juta) pada Disember tahun lalu.

Di bawah DSA, platform digital paling popular di dunia termasuk aplikasi media sosial dan peruncit dalam talian diwajibkan menjalankan penilaian risiko bagi memahami bahaya yang mungkin timbul serta cara mengatasinya.

EU mengkritik penilaian risiko Temu pada 2024 yang disifatkan tidak memenuhi piawaian selepas penemuan mainan bayi seperti kerincing yang mengandungi bahan kimia melebihi had keselamatan sah, selain pengecas yang gagal melepasi ujian keselamatan asas. EU turut membangkitkan isu barang kemas. 

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Temu dalam satu kenyataan berkata: “Temu menghormati objektif Akta Perkhidmatan Digital (DSA) dan keperluan untuk peraturan yang jelas serta konsisten merentasi ekonomi digital. Namun, kami tidak bersetuju dengan keputusan Suruhanjaya Eropah dan menganggap denda yang dikenakan itu tidak seimbang.

“Keputusan tersebut berkaitan dengan penilaian DSA pertama kami pada tahun 2024 dan tidak mencerminkan keadaan semasa sistem kami. Temu telah bekerjasama secara konstruktif dengan suruhanjaya (Eropah) sepanjang proses itu dan sejak itu telah mengambil langkah tambahan untuk memperkukuh penilaian risiko, tadbir urus platform serta perlindungan pengguna.

“Kami akan terus berinteraksi dengan pihak pengawal selia dengan niat baik dan berusaha ke arah mewujudkan pasaran dalam talian yang berkhidmat kepada pengguna, perniagaan dan komuniti secara bertanggungjawab. Kami sedang meneliti keputusan itu dengan teliti dan mempertimbangkan semua pilihan yang tersedia.”

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN