Tang Jie-Ee Wei cemas sebelum lolos suku akhir

Tang Jie-Ee Wei cemas sebelum lolos suku akhir

CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei meraikan kejayaan mara ke pusingan suku akhir pada aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Juara dunia 2025, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dipaksa berhempas-pulas sebelum mengesahkan tiket ke suku akhir Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.

Pasangan ranking keempat dunia itu berdepan tentangan sengit daripada gandingan Indonesia No.16 dunia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah sebelum menang straight set 21-19, 22-20 dalam tempoh 47 minit.

Tang Jie-Ee Wei yang dilihat hampir tercicir pada set kedua bagaimanapun berjaya menyelamatkan keadaan menerusi beberapa mata penting di penghujung permainan untuk mengelakkan aksi berlanjutan ke set penentuan.

Tang Jie mengakui mereka sudah menjangka tentangan sukar daripada pasangan Indonesia tersebut memandangkan lawan mereka itu berada dalam kelompok 20 terbaik dunia ketika ini.

“Mereka bukan lawan yang mudah kerana berada dalam kelompok 20 terbaik dunia dan kami memang sudah bersedia untuk satu perlawanan yang sengit.

“Namun sokongan penyokong di gelanggang sendiri banyak membantu kami terutama ketika permainan menjadi sangat tegang dan mendebarkan,” kata Tang Jie.

Ee Wei pula mendedahkan mereka langsung tidak memikirkan soal mengharungi set penentuan ketika ketinggalan pada set kedua, sebaliknya hanya fokus mencari jalan mematahkan rentak lawan.

“Kami hanya fikir bagaimana mahu memecahkan rentak permainan mereka dan mencari mata dalam situasi yang sukar.

“Jurulatih sentiasa mahu kami ada karakter di dalam gelanggang dan jangan cepat mengalah walaupun lawan sedang mendahului,” katanya.

Kemenangan tersebut menyaksikan pasangan negara terus menghidupkan cabaran Malaysia dalam acara beregu campuran selepas satu lagi pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai terkandas pada pusingan kedua.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu terpaksa akur selepas tewas 19-21, 21-7, 19-21 kepada gandingan Taiwan, Wu Guan Xu-Lee Chia Hsin dalam pertarungan selama 52 minit.

Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan Tang Jie-Ee Wei kini menjadi sandaran utama negara dalam acara beregu campuran untuk memburu gelaran di gelanggang sendiri.

Pada aksi suku akhir esok, pasangan negara bakal berdepan cabaran lebih getir apabila dijadual menentang pilihan kelapan dari China, Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin.

Pertemuan itu dijangka sengit memandangkan Wei Ya Xin ketika ini berada di ranking kedua dunia bersama pasangan tetapnya, Jiang Zhen Bang sekali gus menjadikan gandingan China tersebut antara ancaman terbesar buat kemaraan Malaysia ke separuh akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN