TAIPEI: Taiwan menegaskan ia sebuah negara ‘merdeka’, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran kepada pulau itu agar tidak mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi.
Trump menamatkan lawatan rasmi ke Beijing pada Jumaat, ketika Presiden China, Xi Jinping dilaporkan menggesa beliau supaya tidak menyokong Taiwan yang dituntut negara itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Taiwan bergantung kepada sokongan keselamatan AS bagi menghalang China daripada melaksanakan ancaman untuk mengambil alih pulau itu secara paksa.
“Taiwan adalah sebuah negara demokratik yang berdaulat dan merdeka, dan tidak tunduk kepada Republik Rakyat China,” kata Kementerian Luar Taiwan dalam satu kenyataan semalam.
Kementerian itu turut menegaskan, penjualan senjata AS kepada Taiwan adalah sebahagian daripada komitmen keselamatan Washington terhadap pulau berkenaan, selepas Trump memberi bayangan beliau sedang mempertimbangka isu tersebut.
Kenyataan Taiwan dibuat selepas Trump memberi amaran kepada pulau itu supaya tidak membuat pengisytiharan kemerdekaan.
“Saya tidak mahu ada pihak mengisytiharkan kemerdekaan. Dan kita perlu pergi sejauh 9,500 batu untuk berperang. Saya tidak mahu perkara itu berlaku,” kata Trump dalam wawancara bersama Fox News.
AS hanya mengiktiraf Beijing secara rasmi dan tidak menyokong kemerdekaan Taiwan, namun sebelum ini Washington tidak pernah secara terbuka menyatakan ia menentang kemerdekaan pulau tersebut.
Parlimen Taiwan baru-baru ini meluluskan rang undang-undang perbelanjaan pertahanan bernilai AS$25 bilion (RM98.7 bilion) yang akan digunakan untuk membeli senjata dari AS.
Kementerian Luar Taiwan berkata, penjualan senjata itu bukan sahaja komitmen keselamatan kepada pulau tersebut yang jelas termaktub dalam Akta Hubungan Taiwan, malah pencegahan bersama terhadap ancaman serantau.- AFP










