PETALING JAYA: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani terkandas di separuh akhir selepas akur kepada pilihan pertama, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Stadium Nimibutr, Bangkok, Thailand, hari ini.
Pasangan yang menghuni ranking No. 9 dunia itu tewas kepada beregu India tersebut dalam permainan sengit yang diheret sehingga ke rubber set 21-19, 20-22, 16-21 dalam masa 1 jam 22 minit.
Kekalahan itu menyaksikan gandingan No. 3 Malaysia tersebut semakin ketinggalan di belakang Rankireddy-Shetty yang merupakan pasangan No. 4 dunia dengan rekod pertemuan kini menjadi 2-8.
Sze Fei-Izzuddin bermula baik dengan permainan agresif, namun, lawan mereka yang juga bekas beregu No. 1 dunia itu bukanlah calang-calang lawan.
Ini merupakan pencaian terbaik Sze Fei-Izzuddin mara sehingga ke separuh akhir pada Terbuka Thailand yang merupakan kejohanan berstatus Super 500.
Destinasi Sze Fei-Izzuddin selepas ini adalah kejohanan di laman sendiri iaitu Malaysia Masters yang bermula pada Selasa minggu depan. – UTUSAN










