Sweden kini negara bebas asap rokok

Sweden kini negara bebas asap rokok

SEBUAH cafe mempunyai larangan merokok di Stockholm. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Sweden secara rasmi berjaya mencapai sasaran untuk mengurangkan kadar penduduk yang merokok secara kerap kepada bawah lima peratus, sekali gus meletakkannya sebagai sebuah negara bebas asap rokok.

Memetik laporan Radio Sweden pada Isnin, Majlis Maklumat Alkohol dan Dadah Lain Sweden mengesahkan pencapaian bersejarah itu dan mengisytiharkan negara terbabit kini memenuhi matlamat kesihatan awam jangka panjang bagi tahun 2025 yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut pihak majlis, rekod terbaharu itu menunjukkan penurunan sangat ketara berbanding pada awal 1980-an, di mana pada waktu tersebut lebih 30 peratus daripada keseluruhan rakyat Sweden merupakan perokok tegar harian.

Kejayaan mengurangkan tabiat buruk berkenaan merupakan hasil daripada penurunan secara konsisten dalam tempoh beberapa dekad ekoran pelaksanaan polisi kesihatan awam yang ketat serta perubahan tabiat sosial masyarakat di seluruh negara.

Laporan berkenaan turut mendedahkan perbezaan dari segi demografi penduduk di mana golongan wanita yang berusia antara 50 hingga 84 tahun kekal menjadi kumpulan terbesar yang merokok setiap hari dengan catatan sekitar enam peratus.

Dalam pada itu, laporan sama turut menarik perhatian mengenai trend penggunaan produk nikotin generasi baharu yang dikesan mengalami peningkatan mendadak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Statistik menunjukkan jualan produk snus putih mencatatkan lonjakan sebanyak 180 peratus antara 2021 hingga 2024 manakala pasaran cecair rokok elektrik atau vape pula merekodkan peningkatan luar biasa sebanyak 640 peratus dalam tempoh sama.

Situasi tersebut mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengkaji perubatan. Walaupun kesan buruk akibat menghisap rokok konvensional sudah diketahui umum, impak jangka panjang penggunaan produk nikotin moden ini masih belum difahami sepenuhnya oleh masyarakat.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN