Siti Nurhaliza takut nyanyi Purnama Merindu, ulang 50 kali ‘aku meminta’ - Azmeer - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza takut nyanyi Purnama Merindu, ulang 50 kali ‘aku meminta’ – Azmeer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komposer dan penulis lagu, Azmeer mendedahkan lagu ikonik Purnama Merindu merupakan karya yang paling ditakuti untuk dinyanyikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada awal kemunculannya.

Mengimbau memori proses rakaman lagu tersebut pada tahun 1996, Azmeer atau Mohd. Azhar Abu Bakar, 59, memberitahu Siti yang ketika itu baru berusia 17 tahun keliru untuk memahami kerumitan melodi lagu berkenaan yang berbeza di setiap rangkap

“Purnama Merindu adalah lagu yang paling dia takut nak nyanyi. Dia pernah datang kepada saya dan cakap, ‘Bang, Siti tak boleh nak nyanyi lagu ini’.

“Dia tidak tahu bagaimana mahu membawakannya kerana setiap bahagian lagu itu berbeza-beza setiap rangkap verse, bridge dan lain-lain. Sangat rumit dan merupakan sesuatu yang baharu bagi dirinya sehingga dia rasa keliru,” katanya menerusi satu temu bual di podcast Borak Selebriti yang tular.

Bercerita lanjut, Azmeer menjelaskan dia mengambil masa selama tiga jam setengah untuk melatih Siti bagi memastikan setiap nota disampaikan dengan sempurna.

Malah, dia mendedahkan bahagian paling mencabar adalah pada baris lirik ‘Aku meminta’ yang memerlukan Siti mengulanginya sebanyak 50 hingga 60 kali.

“Saya pesan kepada jurutera bunyi supaya rakam sahaja sesi latihan itu. Paling susah adalah bahagian ‘Aku meminta’ kerana dia tidak memberikan nota yang sepatutnya.

“Bukannya dia nyanyi sumbang, cuma nota itu salah. Hampir 50 ke 60 kali juga dia ulang bahagian tersebut sehingga benar-benar menjadi,” jelasnya.

Namun, apa yang mengejutkan adalah rahsia di sebalik kualiti vokal yang didengari peminat dalam album tersebut.

Azmeer mendedahkan bahawa versi Purnama Merindu yang popular sehingga ke hari ini sebenarnya hanyalah rakaman daripada sesi latihan (rehearsal take) dan bukannya rakaman rasmi.

“Selepas tamat latihan, dia duduk di sebelah saya dan mendengar semula rakaman itu sebelum berkata ‘sedap lagu ini’. Bila dia tanya bila mahu mulakan rakaman sebenar, saya kata tidak payah.

“Kita gunakan rakaman latihan sahaja. Jadi apa yang anda dengar di seluruh dunia adalah rehearsal take. Tiada rakaman rasmi yang dilakukan selepas itu. Itulah rezeki, lagu itu meledak dan menjadi hit besar walaupun ketika itu sedang berlaku kegawatan ekonomi pada 1996,” katanya.

Tambah Azmeer, tindakannya menggunakan rakaman latihan itu adalah berdasarkan gerak hati (guts) kerana menyifatkan emosi pada rakaman pertama adalah sesuatu yang asli dan sukar dicari ganti.

“Keyakinan itu datang daripada keberanian. Ia macam komedi juga, bila kali pertama buat ia menjadi, tetapi kalau buat kali kedua, ia sudah tidak kelakar lagi,” ujarnya berseloroh.

Lagu Purnama Merindu dimuatkan dalam album Adiwarna pada tahun 1998. Siti membawakan lagu itu semasa Anugerah Juara Lagu ke-14 dan membawa pulang gelaran Juara kategori balada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN