Sindiket 'calling centre' sasar warga Sepanyol tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket ‘calling centre’ sasar warga Sepanyol tumpas

M. KUMARASAN menunjukkan gambar 35 warga China yang di tahan atas kejayaan menumpaskan sindiket 'calling centre' sasar warga Sepanyol dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Iskandar Puteri. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sindiket ‘calling centre’ antarabangsa yang khusus menyasarkan rakyat Sepanyol tumpas selepas 35 ahli sindiket yang terdiri daripada warga China ditahan dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Gelang Patah, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kesemua suspek ditahan didapati memasuki negara secara sah atas visa lawatan dan berusia antara 21 hingga 39 tahun.

Katanya, sindiket terbabit juga dikesan telah beroperasi sejak Februari lalu di banglo berkenaan yang disewa dengan harga RM18,000 sebulan dan perlu melalui tiga lapisan pintu keselamatan.

“Dalam serbuan yang dibuat pada pukul 11.50 malam itu, majoriti suspek sedang berada di hadapan komputer masing-masing di kawasan ruang tamu.

“Seramai 33 daripada mereka merupakan ejen mencari pelanggan menggunakan aplikasi Telegram yang menawarkan pekerjaan tidak wujud dengan gaji RM4,000, manakala dua lagi merupakan tukang masak dengan gaji RM3,500,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Kumarasan, pihaknya sedang memburu seorang lelaki tempatan bernama Muhamad Ling Mohd. Adam Ling, 25, yang beralamat di Sarawak kerana dipercayai menjadi orang tengah kepada sindiket berkenaan.

“Serbuan tersebut juga menyaksikan polis merampas 35 telefon bimbit, 35 unit komputer, 10 komputer riba dan 12 modem bernilai keseluruhan RM65,000.

“Ujian urin mendapati kesemua negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau. Kesemua suspek kini direman sehingga 28 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN