AG fail bantahan semakan kehakiman keputusan NFA babitkan Ahmad Zahid

AG fail bantahan semakan kehakiman keputusan NFA babitkan Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Negara akan memfailkan bantahan terhadap permohonan semakan kehakiman terbaharu Badan Peguam yang ingin mencabar keputusan ‘Tiada Tindakan Lanjut (NFA) Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ia terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkait penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan pada prosiding yang didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching di sini hari ini.

Selain itu, Nurhafizza turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mendapat arahan untuk memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 7 Mei lalu.

Permohonan kebenaran untuk merayu keputusan itu akan difailkan di Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Saya menerima arahan untuk meneruskan bantahan terhadap permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman (berkait NFA),”katanya.

Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Badan Peguam untuk meneruskan cabaran terhadap keputusan Peguam Negara memohon perintah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada kesemua pertuduhan membabitkan penyelewengan dana yayasan itu.

Turut menyuarakan perkara sama ialah peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid yang memaklumkan pihaknya akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu pada atau sebelum 5 Jun ini.

“Oleh itu, pihak kami memohon supaya prosiding semakan ini digantung sehingga pihak-pihak kembali ke mahkamah untuk mengemas kini status di Mahkamah Persekutuan,”katanya.

Sementara itu, merujuk kepada permohonan semakan kehakiman berkait perintah NFA, peguam, Abhilaash Subramaniam yang mewakili Badan Peguam memohon agar permohonan bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu diteruskan kerana keputusan Mahkamah Rayuan dibuat berdasarkan prinsip undang-undang yang mantap.

Hakim Yee Ching kemudian 30 Jun ini akan mendengar sama ada prosiding membabitkan perintah NFA di hadapannya perlu diteruskan atau digantung sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 April lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan NFA Peguam Negara itu dengan menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden pertama dan kedua.

Menurut penyataan yang difailkan, Badan Peguam antara lain memohon agar keputusan NFA yang dibuat pada 8 Januari lalu diisytiharkan sebagai tidak sah, terbatal dan Peguam Negara telah mengambil tindakan tersebut dengan melangkaui bidang kuasanya.

Badan itu turut memohon agar Ahmad Zahid didakwa semula atas 47 pertuduhan tersebut.

Selain itu, Badan terbabit memohon satu perintah mandamus (memaksa) Peguam Negara untuk memberikan segala maklumat, dokumen, alasan, asas dan butiran yang dirujuk oleh responden pertama dalam mencapai keputusan NFA tersebut.

Turut dimohon ialah relif-relif lain yang difikirkan sesuai dan tiada sebarang perintah dibuat berhubung kos.

Pada 8 Januari lalu, AGC dalam satu kenyataan memutuskan NFA terhadap kesemua pertuduhan Ahmad Zahid sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes terbabit.

Keputusan NFA itu dibuat selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

AGC menegaskan keputusan tersebut dibuat berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pihak AGC telah merujuk keputusan DNAA bertarikh 4 September 2023, menjalankan siasatan lanjut dan terperinci merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN