PETALING JAYA : Polis mengesahkan telah memanggil Ketua Pengarang MalaysiaNow, Abd Rahman Koya hari ini bagi membantu siasatan berhubung penerbitan artikel berkaitan klip video dikaitkan dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, keterangan individu berkenaan diambil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah.
“Ya, saya sahkan. Dia dipanggil bagi bantu siasatan,” katanya ringkas.
Terdahulu, Abd Rahman tiba di IPD Petaling Jaya kira-kira pukul 2.15 petang, bersama Peguam, N Rajesh.
Rajesh dan seorang lagi peguam, Sachpreetraj Singh meninggalkan balai polis berkenaan kira-kira setengah jam kemudian.-UTUSAN










