MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya menumpaskan kes penyelewengan diesel subsidi dengan nilai rampasan mencecah RM388,898 sejak Op Tiris 4.0 Bersepadu dilaksanakan 16 Mac lalu.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, kes penyelewengan diesel bersubsidi dikesan termasuk menggunakan ‘fleet card’ membabitkan penyelewengan 4,000 liter diesel pada tempoh itu.
Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 12 kes berjaya dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM388,898 sejak operasi tersebut bermula 16 Mac lalu sehingga semalam.
“Selain diesel, pihaknya turut merekodkan rampasan melibatkan tepung gandum bernilai RM1,439.30 serta minyak masak sebanyak RM857.50.
“Keadaan ini menunjukkan masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan terhadap barang bersubsidi dan barang kawalan untuk mengaut keuntungan.
“KPDN Melaka tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan serta risikan di seluruh negeri,” katanya dalam sidang akhbar sempena sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 peringkat negeri Melaka di Dewan Datuk Md Hassim Wisma Kastam, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohd. Hazimin berkata, sepanjang tahun 2025 pihaknya berjaya menghasilkan 407 kes yang melibatkan pelbagai akta membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM450,270.10.
Menurutnya, seramai 16 individu warga tempatan dan asing berusia antara 20 hingga 40 tahun telah ditangkap sepanjang tahun lalu.
“Bermula pada awal Januari pula sehingga 19 Mei sebanyak 250 kes direkodkan dan melibatkan tujuh individu telah ditangkap,” ujarnya.
Katanya, KPDN memberi amaran dan mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan anggota penguat kuasa akan bertugas sepanjang masa bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku.
Beliau berkata, sebarang aduan boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, portal [email protected], pusat panggilan (1 800 886 800), aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Melaka (06-2345869).
Sementara itu beliau berkata, KPDN Melaka akan melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Mei ini sempena sambutan Aidiladha.
Jelasnya, PJRM berkenaan akan diadakan di 96 lokasi sepanjang tempoh penganjurannya, membabitkan 70 hingga 110 barangan seperti daging segar, telur, ayam, kerisik, santan dan lain-lain serta manawarkan diskaun sehinggan 30 peratus.-UTUSAN










