Rumah ‘Grandma Core’ jadi penawar jiwa

Rumah ‘Grandma Core’ jadi penawar jiwa

hampir 90 peratus dekorasi dibeli ketika melancong ke luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan rumah moden hari ini tampil dengan konsep minimalis, putih polos dan susun atur yang ringkas namun bagi Nur Aainaa Rusli dia memilih jalan yang berbeza apabila menjadikan kediamannya sebagai ruang yang penuh warna, nostalgia dan emosi.

Mengangkat konsep Cottage core dan Granny Chic, dia bersama suaminya berjaya mengubah rumah biasa menjadi ruang yang bukan sahaja cantik dipandang malah turut memberi rasa tenang dan penuh memori.

“Rumah bukan sekadar tempat untuk berehat selepas penat bekerja namun ruang untuk membina suasana yang membuatkan seseorang rasa selamat, bahagia dan dekat dengan keluarga,” ujarnya.

Hampir keseluruhan dekorasi di rumahnya dihasilkan sendiri dengan gabungan barangan thrifted serta koleksi dari pelbagai negara yang menjadikan setiap sudut mempunyai cerita tersendiri.

Walaupun tampil dengan gaya yang dianggap ‘serabut’ bagi sesetengah orang, konsep yang dibawa pasangan ini sebenarnya menjadi simbol keberanian untuk keluar daripada trend rumah moden yang minimalis.

Tenang Yang Penuh Nostalgia

Bagi Aainaa, idea utama dekorasi rumah tersebut tercetus daripada keinginannya untuk mencipta suasana rumah yang selesa, menarik dan penuh nostalgia seperti rumah di kawasan kampung England.

Dia mengakui amat meminati konsep English Country Cottage yang terkenal sekitar tahun 1950-an hingga 1980-an dan mahu membawa semula suasana itu dalam versi moden yang lebih dekat dengan generasi hari ini.

“Antara elemen yang ketara dapat dilihat ialah melalui penggunaan warna-warna lembut seperti hijau sage, merah, kuning mustard, rona pastel serta tona kayu yang membuatkan setiap ruang kelihatan sedap mata memandang.

“Dinding rumah yang turut dihiasi dengan panel dinding hijau dan kertas dinding bercorak bunga kecil turut menjadi identiti utama gaya English cottage klasik,” katanya lagi yang sudah mula dekorasi rumahnya sejak tahun 2023.

Rumahnya tidak direka untuk kelihatan sempurna namun dia memilih untuk tampil dengan suasana ‘lived-in’ yang selesa dan penuh karakter.

Kerusi dan meja makan di rumah itu juga sengaja dipilih secara campur (mix and match) bagi mewujudkan konsep ‘collected over time’ seolah-olah setiap perabot dikumpul sedikit demi sedikit sepanjang kehidupannya.

Malah dia juga mendapat inspirasi daripada beberapa filem yang tampil dengan gaya tersebut seperti filem The Holiday, Little Women dan Practical Magic sebagai rujukan utama dalam membina mood rumahnya.

Rumah Sebagai ‘Travel Portfolio’

Bagi Aainaa, dia mengakui dirinya seorang yang sentimental dan gemar menyimpan barang yang mempunyai nilai memori berbanding sekadar mengikut trend semasa.

Disebabkan itu, setiap pinggan, teko, cawan dan hiasan dinding di rumahnya mempunyai cerita tersendiri yang dikumpul sepanjang perjalanan hidup dia dan suaminya.

“Hampir 90 peratus dekorasi yang terdapat di rumah ini merupakan barang yang dikumpul dan dibeli ketika melancong ke luar negara,” katanya yang pada masa sama menggunakan peluang tersebut untuk mencari inspirasi serta menambah koleksi dekorasi untuk rumahnya.

pinggan dan cawan bercorak unik merupakan koleksi istimewa Aainaa.

Setiap negara yang dilawatinya mempunyai identiti dekorasi yang tersendiri menjadikan rumahnya lebih unik dan tidak kelihatan seperti dekorasi yang dibeli terus dalam satu set.

“Antara item yang istimewa yang menghiasi rumah mereka ialah pinggan bercorak Ottoman dari Turkiye, teko tembaga dari Dubai, bingkai kayu vintaj dari Korea serta koleksi porselin dari China,” katanya.

Dia dan suami lebih gemar mencari dekorasi di pasar lambak, jualan antik serta kedai terpakai kerana percaya barang lama mempunyai nilai sentimental yang sukar diperoleh pada dekorasi moden.

Baginya, setiap barang yang dipamerkan di rumahnya mempunyai nilai memori yang tersendiri dari negara-negara yang telah dikunjunginya.

Dapur Jadi Jantung Rumah

Ruang yang paling menjadi tumpuan utama dalam rumah tersebut ialah dapur yang dianggap sebagai ‘jantung rumah’ dan tempat paling membahagiakan buat dirinya.

Dapurnya direka dengan penuh keberanian kerana hampir keseluruhan ruang dipenuhi corak bunga, kabinet hijau epal, lampu chandelier vintaj serta pelbagai dekorasi terbuka yang menjadikan suasana lebih hidup dan estetik.

“Peti ais serta tong sampah juga dibalut dengan corak bunga bagi memastikan keseluruhan ruang benar-benar selari dengan tema Cottage core yang dibawanya.

Dia percaya suasana dapur yang cantik dan selesa mampu menjadikan aktiviti memasak lebih menyeronokkan serta secara tidak langsung menjadi terapi emosi buat dirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN