PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membuka tawaran pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat mengikuti program kadet juruterbang dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara akan mengeluarkan iklan serta syarat-syarat kelayakan program itu dalam tempoh terdekat.
“Pastinya pelajar-pelajar baharu yang mahu memohon kadet pilot ini mesti memenuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan oleh akademi-akademi latihan penerbangan seperti Malaysia Aviation Group (MAG) dan BATS.
“Akademi-akademi yang ditaja Mara juga mesti ada perjanjian dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk menjamin pekerjaan kepada pelatih-pelatih yang bakal mendapat pembiayaan Mara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, syarat-syarat minima bagi menyertai program berkenaan termasuklah pelajar daripada aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Cuma kali ini, walaupun tawaran dibuka kepada semua pelajar berkelayakan, keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz aliran STEM.
“Mereka akan melalui proses pemilihan termasuk sesi temu duga. Fasa terakhir temu duga adalah bersama Pengerusi Mara sendiri melalui sesi tebuk hafazan atas tasmik al-Quran,” katanya. – UTUSAN










