Pengampunan AS tidak hapus kesalahan Jho Low di Malaysia - Utusan Malaysia

Pengampunan AS tidak hapus kesalahan Jho Low di Malaysia

JHO LOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengampunan presiden yang dimohon ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low di Amerika Syarikat (AS) tidak akan secara automatik menghapuskan liabilitinya di Malaysia atau mana-mana negara lain.

Hal ini disebabkan, pengampunan presiden itu hanya meliputi kesalahan-kesalahan dilakukannya di AS seperti jenayah pengubahan wang haram, konspirasi dan pelanggaran Akta Pencegahan Amalan Rasuah Asing (FCPA) yang dihadapinya di negara terbabit.

Pensyarah Undang-Undang Pentadbiran Keadilan Jenayah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Noorfajri Ismail berkata, apa pun keputusan AS terhadap permohonan pengampunan oleh Jho Low, Malaysia tidak terikat dengannya.

Sebaliknya Malaysia masih boleh meneruskan pertuduhan jenayah, mengeluarkan waran tangkap, melakukan prosiding pemulangan aset serta hak memohon mengekstradisi berdasarkan undang-undang dan perjanjian antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, ada beberapa implikasi negatif mungkin wujud jika pengampunan itu diberikan termasuklah boleh menjejaskan usaha kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan kerana jenayah dikaitkan dengan Jho Low melibatkan AS, Malaysia, Switzerland, Singapura, Luxembourg dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Sebelum ini, AS melalui Jabatan Kehakiman (DOJ) banyak membantu Malaysia mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB yang disita di luar negara. Sekiranya pengampunan diberi kita mungkin melihatnya sebagai melemahkan semangat bantuan guaman bersama (MLA).

“Selain itu, ia juga boleh menimbulkan persepsi bahawa pelaku utama akhirnya terlepas daripada akauntabiliti jenayah antarabangsa dan memberi kesan diplomatik terhadap kerjasama anti-rasuah masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pengampunan presiden itu juga tidak menghapuskan tuntutan sivil atau usaha pemulangan aset yang digerakkan kerana berdasarkan undang-undang kewangan antarabangsa prosiding jenayah, prosiding pelucuthakan sivil dan pemulangan aset adalah berbeza.

Katanya lagi, persoalan sama ada wajar atau tidak seseorang seperti Jho Low diberi pengampunan di AS, sebenarnya melibatkan tiga dimensi utama dari sudut undang-undang, etika tadbir urus, dan politik antarabangsa.

Tambahnya, daripada sudut perundangan semata-mata, Presiden AS memang mempunyai kuasa yang sangat luas untuk memberi pengampunan bagi kesalahan persekutuan di bawah Artikel II Perlembagaan AS jadi secara teknikal, ia boleh dilakukan walaupun terhadap individu yang sangat kontroversial.

“Namun persoalan ‘wajar’ lebih besar daripada soal kuasa undang-undang. Dalam konteks skandal 1MDB, terdapat beberapa sebab mengapa pengampunan sedemikian mungkin dianggap tidak wajar oleh masyarakat antarabangsa kerana ia dianggap sebagai jenayah korporat global.

“Kes 1MDB bukan sekadar kes domestik Malaysia. Ia melibatkan pengubahan wang haram rentas sempadan, institusi kewangan antarabangsa, aset di banyak negara dan mendatangkan kerugian berbilion dolar.

“Malah Jabatan Kehakiman AS pernah menyifatkannya sebagai antara kes kleptokrasi terbesar yang pernah mereka siasat. Memberi pengampunan kepada individu yang dianggap arkitek utama skandal tersebut boleh dilihat bercanggah dengan agenda global anti-rasuah dan anti pengubahan wang haram,” katanya.

Noorfajri berkata, daripada sudut undang-undang AS, pengampunan mungkin sah dan berada dalam kuasa presiden tetapi daripada perspektif legitimasi moral, tadbir urus antarabangsa, dan prinsip kebertanggungjawaban global, ia berkemungkinan besar dianggap tidak wajar oleh ramai pihak.

“Khususnya apabila melibatkan skandal kewangan yang memberi kesan kepada kepentingan awam dan reputasi Malaysia di persada antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN