KPM perlu pendekatan lebih sistematik martabat profesion perguruan - Utusan Malaysia

KPM perlu pendekatan lebih sistematik martabat profesion perguruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa lebih aktif dan sistematik bagi memperkukuh martabat profesion perguruan menerusi penyediaan infrastruktur serta teknologi pendidikan terkini, peluang pembangunan kompetensi berterusan dan pengiktirafan sewajarnya terhadap sumbangan guru.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd. Amin berkata, usaha itu penting bagi memastikan agenda transformasi pendidikan negara tidak sekadar bersifat kosmetik, sebaliknya mampu membawa perubahan struktural yang nyata kepada sistem pendidikan negara.

“Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang dilancarkan KPM pada Januari lalu telah meletakkan guru sebagai pemacu utama transformasi pendidikan negara.

“Namun, segala rancangan yang diperkenalkan perlu lebih daripada sekadar penambahbaikan kosmetik untuk menghasilkan perubahan struktural yang nyata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azril berkata, isu beban tugasan bukan akademik, tekanan pentaksiran serta kekangan terhadap pembangunan profesional berterusan merupakan antara masalah struktur yang telah lama dikenal pasti dan memerlukan penyelesaian segera.

Katanya, aspek kesejahteraan guru juga perlu diberi perhatian susulan dapatan kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menunjukkan isu kesihatan mental dalam kalangan warga pendidik memerlukan perhatian berterusan dan mendesak.

“Justeru, keseimbangan antara tuntutan kerja dan kesihatan mental perlu dijadikan agenda utama KPM kerana guru yang lebih berdaya tahan dari segi emosi, mental dan fizikal akan lebih berupaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

“Peranan guru sebagai pemacu perubahan dan agen transformasi sosial memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak termasuk KPM, pembuat dasar, institusi pendidikan serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Tambah beliau, pada masa sama, sistem pendidikan negara kini berdepan keperluan untuk menyesuaikan diri secara pantas dengan perubahan teknologi dan kehendak pasaran global susulan perkembangan Revolusi Industri 4.0 serta peralihan ke arah ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, guru masa kini tidak lagi hanya berperanan sebagai pendidik tradisional, sebaliknya perlu menguasai teknologi, memahami dinamika pembelajaran digital serta mampu mengintegrasikan inovasi dalam kaedah pengajaran.

“Bagaimanapun, cabaran utama adalah memastikan penekanan terhadap kemahiran masa hadapan tidak mengabaikan asas pendidikan seperti literasi, numerasi dan pembentukan nilai.

“Terdapat risiko bahawa agenda future-ready menjadi terlalu retorik sekiranya jurang asas pembelajaran, khususnya antara kawasan bandar dan luar bandar, tidak ditangani secara sistematik,” katanya.

Menurut Azril, tema sambutan tahun ini aitu ‘’Guru Bitara Nadi Negara’ bukan sekadar ungkapan simbolik, sebaliknya pengiktirafan mendalam terhadap peranan guru sebagai nadi utama pembangunan bangsa dan negara.

“Selamat menyambut Hari Guru kepada seluruh warga pendidik. Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi dalam mendidik anak bangsa untuk masa depan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN