Trump minta Taiwan, China bertenang

Trump minta Taiwan, China bertenang

KAPAL China melakukan rondaan ketika Tentera Pembebasan Rakyat menjalankan latihan ketenteraan di pulau Pingtan, wilayah Fujian yang terdekat dengan Taiwan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu Taiwan dan China ‘bertenang’ di tengah ketegangan antara kedua-dua pihak, sambil memberi isyarat ketidakpastian mengenai pakej senjata bernilai berbilion dolar untuk Taipei.

“Saya tidak mahu sesiapa mengisytiharkan kemerdekaan, dan kita perlu menempuh 9,500 batu untuk berperang. Saya mahu Taiwan bertenang, saya mahu China bertenang,” katanya dalam temu bual dengan Fox News yang disiarkan pada Jumaat.

Apabila ditanya mengenai status kelulusan pakej senjata untuk Taiwan, Trump berkata, beliau belum meluluskannya lagi dan keputusan lanjut akan ditentukan kemudian.

“Saya belum meluluskannya lagi. Kita akan lihat apa yang berlaku,” katanya.

Trump turut menyifatkan pendiriannya sebagai ‘neutral’ apabila ditanya sama ada Taiwan perlu berasa lebih selamat atau sebaliknya selepas pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.

“Kami berbincang sepanjang malam mengenai isu itu. Sekarang saya tidak fikir mereka akan melakukan apa-apa ketika saya berada di sini. Apabila saya tiada, saya rasa mereka mungkin,” katanya, sambil menyifatkan perbincangan berkenaan sebagai antara isu paling penting dalam rundingannya dengan pemimpin China itu.

Presiden AS itu turut menyuarakan hasrat supaya syarikat cip Taiwan berpindah ke AS.

“Kita sudah mempunyai banyak syarikat cip dari Taiwan yang sedang datang ke sini. Kita jangka akan menguasai 40 hingga 50 peratus perniagaan cip dunia menjelang akhir penggal saya,” katanya.

Beliau berhujah, Taiwan berkembang kerana presiden AS terdahulu ‘yang tidak memahami keadaan sebenar’ serta menyokong cadangan mengenakan tarif ke atas cip yang diimport dari Taipei.

“Semua itu berkaitan syarikat cip kita. Mereka merampas industri cip kita,” katanya.

Kenyataan Trump itu dibuat ketika ketegangan antara China dan Taiwan masih berterusan.

Jinping sebelum ini berkata, keamanan di Selat Taiwan ‘tidak boleh disatukan seperti api dan air’ dengan kemerdekaan Taiwan.

“Menjaga keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan adalah titik persamaan terbesar antara kedua-dua negara,” tambahnya.

Sebagai pembekal senjata utama Taiwan, AS meluluskan jualan senjata bernilai AS$11 bilion tahun lalu, sekali gus mencetuskan bantahan Beijing.

China menganggap Taiwan sebagai ‘wilayah yang terpisah darinya’, manakala Taipei menegaskan ia kekal merdeka sejak 1949.- ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN