Tiga lelaki menyamar pegawai imigresen samun buruh warga Bangladesh

Tiga lelaki menyamar pegawai imigresen samun buruh warga Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Tindakan tiga lelaki tempatan menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen untuk memeras ugut warga asing membawa padah apabila seorang daripada mereka ditahan dalam kejadian samun bersenjata di Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payung di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, seorang buruh warga Bangladesh, Bilal Mazi, 30, mengalami kecederaan di kepala dan jari tangan kanan disyaki ditetak menggunakan parang ketika bergelut dengan suspek.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung kejadian pergaduhan melibatkan senjata tajam di sebuah tapak pembinaan rumah banglo di kampung berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama beberapa rakannya berada di rumah kongsi sebelum didatangi dua lelaki tempatan yang memperkenal diri sebagai pegawai Jabatan Imigresen.

“Suspek kemudian meminta mangsa serta rakannya menyerahkan pasport dan telefon bimbit untuk diperiksa, namun mangsa mula curiga dengan tindakan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, salah seorang rakan mangsa menyerahkan telefon bimbit sebelum mangsa memanggil beberapa lagi rakannya yang berada berhampiran tapak pembinaan tersebut.

Katanya, tindakan itu menyebabkan suspek cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan di simpang jalan keluar kawasan berkenaan.

“Ketika pergelutan berlaku, muncul seorang lagi rakan suspek dan dua daripada mereka dipercayai mengeluarkan parang. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan manakala dua suspek turut cedera di kepala dan kening dipercayai terkena senjata tajam,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspekditahan manakala dua lagi melarikan diri termasuk seorang yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Solariz.

“Suspek yang ditahan merupakan buruh binaan berusia 29 tahun dari Kampung Kubang Terap, Kuala Terengganu dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamine. Dua lagi suspek yang telah dikenal pasti kini sedang diburu polis. Salah seorang suspek berusia 36 adalah abang kepada suspek yang berjaya di tangkap,”katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kerana kawasan berkenaan merupakan penempatan rumah kayu dan rumah kongsi pekerja binaan.

Katanya, bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) serta pasukan forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu turut digerakkan dan merampas beberapa barang bukti termasuk parang, sampel darah serta kasut dipercayai milik suspek.

“Mangsa dan seorang suspek yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu manakala suspek yang ditahan direman hari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN