Dinosaur gergasi pernah hidup di Thailand - Utusan Malaysia

Dinosaur gergasi pernah hidup di Thailand

RANGKA Nagatitan chaiyaphumensis, dinosaur terbesar Thailand dipamerkan di Muzium Thainosaur Museum, Bangkok semalam. - AFP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Saintis telah mengenal pasti dinosaur baharu bersaiz gergasi daripada fosil yang ditemukan di Thailand dengan haiwan itu dianggarkan mempunyai berat menyamai sembilan ekor gajah dewasa.

Haiwan herbivor berleher panjang itu berukuran 27 meter dan seberat kira-kira 27 tan, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports.

Para penyelidik berkata, dinosaur itu kemungkinan hidup di kawasan yang kini menjadi Thailand antara 100 hingga 120 juta tahun lalu dan merupakan yang terbesar pernah ditemui di Asia Tenggara.

Mereka menganggarkan dinosaur baharu itu mempunyai berat sama seperti sembilan ekor gajah Asia dewasa.

“Dinosaur kami besar mengikut kebanyakan standard manusia. Ia mungkin sekurang-kurangnya 10 tan lebih berat daripada Dippy the Diplodocus,” kata penyelidik utama, Thitiwoot Sethapanichsakul, merujuk kepada replika komposit besar yang sebelum ini dipamerkan di Muzium Semula Jadi, London.

Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) Thailand itu menggelar sauropod yang baru ditemui itu sebagai makhluk gergasi terakhir kerana ia ditemukan dalam salah satu formasi batuan termuda yang mengandungi fosil dinosaur di Thailand, menurut Kolej Universiti London.

Beliau menambah bahawa kawasan itu kemudian menjadi laut cetek. 

“Jadi, ini mungkin sauropod besar terakhir atau paling terkini yang akan kita temui di Asia Tenggara,” tambahnya.

Fosil pertama makhluk gergasi itu ditemui sedekad lalu oleh penduduk tempatan di timur laut Thailand, namun proses penggalian hanya selesai pada 2024, menurut kajian yang diterbitkan pada Khamis.

Fosil tersebut sebahagiannya menyerupai sauropod yang pernah ditemui sebelum ini, tetapi mempunyai cukup ciri unik untuk diklasifikasikan sebagai spesies baharu.

Ia dinamakan Nagatitan chaiyaphumensis sempena ular mitologi Asia Tenggara, gergasi dalam mitologi Greek dan wilayah Chaiyaphum tempat ia ditemukan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN