Dakwaan Jho Low pulang ke Malaysia tahun lalu masih dalam siasatan - Utusan Malaysia

Dakwaan Jho Low pulang ke Malaysia tahun lalu masih dalam siasatan

Mohd Khalid Ismail berucap perasmian pada Majlis Sambutan Hari Autisme Pengaman PDRM Tahun 2026 di Dewan Pengaman Kuala Lumpur di sini, hari ini. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dakwaan mengenai kepulangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia bagi menghadiri mesyuarat rahsia pada hujung tahun lalu masih belum dapat disahkan oleh pihak polis setakat ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, siasatan berkaitan dakwaan tersebut masih diteruskan bagi memastikan kesahihan maklumat sebelum sebarang tindakan lanjut diambil pihak berkuasa.

Menurutnya, polis akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat bukti kukuh atau perkembangan baharu yang mengesahkan dakwaan berhubung kehadiran ahli perniagaan terbabit ke negara ini.

“Pihak polis tidak mahu membuat sebarang kesimpulan terburu-buru kerana siasatan masih berjalan dan semua aspek berkaitan perkara tersebut sedang diteliti secara menyeluruh.

“Setakat ini, kita masih belum memperoleh kepastian mengenai sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut. Justeru, tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan sama ada perkara itu benar-benar berlaku atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar majlis sambutan Hari Autisme Pengaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tahun 2026 di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), hari ini.

Tambah Mohd. Khalid, pihak polis akan memberikan kenyataan lanjut pada masa hadapan sekiranya terdapat perkembangan baharu atau perkara berkaitan yang memerlukan penjelasan kepada umum.

“Kita akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perkembangan atau perkara baharu berkaitan isu ini,” katanya.

Sebelum ini, siasatan terhadap Jho Low, tetap diteruskan berdasarkan segala maklumat yang diterima termasuk perkembangan baru dan terkini.

Mohd. Khalid Ismail semalam berkata, pihaknya turut mengambil kira maklumat oleh portal berita Sarawak Report, yang mendakwa dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menghadiri mesyuarat rahsia di negara ini hujung tahun lalu.

Selain itu, sempena sambutan Hari Autisme 2026, Mohd. Khalid menyatakan pihak polis akan terus menyokong usaha kebajikan terhadap pelajar autisme di Sekolah Pusat Autisme Pengaman PDRM melalui Tabung Kebajikan Sosial serta pelaksanaan pelbagai program bagi memastikan bantuan kepada mereka dapat diteruskan secara berkesan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dana, badan korporat dan individu yang menghulurkan bantuan kewangan serta material bagi menyokong inisiatif kebajikan tersebut.

“Penghargaan juga diucapkan kepada KOP Mantap Berhad atas inisiatif menyumbangkan 30 unit tablet sebagai usaha bermakna dalam memperkasakan akses kepada pendidikan digital melalui pembelajaran yang lebih khusus dan interaktif.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Great Eastern Assurance Berhad atas sumbangan ikhlas berjumlah RM10,000 kepada Sekolah Pusat Autisme Pengaman PDRM dan diharapkan sumbangan ini menjadi jambatan harapan dalam membolehkan anak-anak mendapat akses kepada kemudahan terapi dan pendidikan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN