Ronaldo akhiri ‘kemarau’ bersama Al Nassr

Ronaldo akhiri ‘kemarau’ bersama Al Nassr

: Cristiano Ronaldo merangku kejuaraan Liga Pro Saudi bersama Al-Nassr.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Penantian panjang Cristiano Ronaldo berakhir apabila meledak dua gol untuk membantu Al Nassr menewaskan Damac 4-1 bagi merangkul kejuaraan Liga Pro Saudi, semalam.

Kemenangan itu menamatkan kemarau trofi liga domestik Ronaldo yang berlarutan sejak kali terakhir menjulang kejuaraan Serie A bersama Juventus pada 2020.

Lebih manis, bintang berusia 41 tahun itu menjadi watak utama apabila meledak gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-63 sebelum menambah satu lagi jaringan sembilan minit sebelum tamat permainan.

Ketika aksi hampir melabuhkan tirai, Ronaldo yang dikeluarkan dan berada di bangku simpanan dilihat gagal menahan emosi apabila menitiskan air mata menyaksikan detik bersejarah tersebut.

Al Nassr sebelum itu mendahului 2-0, namun Damac merapatkan jurang untuk menghidupkan semula tekanan sebelum Ronaldo tampil menyelamatkan keadaan menerusi dua sentuhan berbisa.

Ronaldo dalam satu hantaran di Instagram meluahkan rasa syukur selepas menjulang trofi bersama kelab Asia Barat itu.

“Ia bermakna banyak kepada kami, Yalla Al Nassr,” katanya.

Kejuaraan itu membolehkan Ronaldo melengkapkan koleksi gelaran liga di empat negara berbeza selepas sebelum ini menawan England, Sepanyol dan Itali, selain turut memiliki lima trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Kejayaan tersebut juga hadir selepas beberapa episod pahit dilaluinya di Arab Saudi termasuk kekecewaan tewas dalam final Piala Raja dan kegagalan menjuarai beberapa kejohanan utama sejak menyertai Al Nassr pada Januari 2023.

Ronaldo yang kini mengumpul 973 gol sepanjang karier profesional semakin menghampiri rekod magis 1,000 gol, sambil sasaran berikutnya kini terarah kepada penampilan keenam di pentas Piala Dunia selepas dipanggil menyertai skuad Portugal minggu ini.

Sementara itu, pencabar terdekat, Al Hilal menamatkan saingan dua mata di belakang Al Nassr dalam perebutan gelaran yang berlarutan hingga ke aksi terakhir musim. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN