Rafizi dakwa wujud unsur emosi dalam siasatan terhadap dirinya

Rafizi dakwa wujud unsur emosi dalam siasatan terhadap dirinya

RAFIZI Ramli menunjukkan dokumen tambahan yang akan diserahkan kepada SPRM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa wujud unsur ’emosi’ dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya susulan kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki baru-baru ini.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, kenyataan dibuat Azam itu menimbulkan persoalan dan mungkin dipengaruhi rasa tidak puas hati berikutan kritikannya terhadap Azam sebelum ini, termasuk berkaitan isu pemilikan saham.

“Azam ketika berucap pada majlis persaraannya baru-baru ini menyebut bahawa dia tidak akan memaafkan orang-orang yang menyerang atau mengkritik dia.

“Bila kita tengok kenyataan Azam, memang nampak banyak unsur emosi, walaupun mungkin orang dah terbiasa dengan unsur emosi dia.

“Tetapi sebenarnya pihak berkuasa tak boleh ada emosi dalam menentukan kes ini. Jika ada unsur emosi, seseorang itu sepatutnya menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini pagi ini.

Katanya, Azam mestilah nampak bebas dan kebal daripada kritikan kerana SPRM perlu berpandukan kepada bukti dan undang-undang semata-mata.

Jelasnya lagi, kenyataan itu menimbulkan persoalan sama ada siasatan yang dibuka terhadapnya lebih dua bulan lalu dipengaruhi rasa tidak puas hati.

“Dalam tempoh dua tiga tahun yang lalu, saya antara orang yang paling lantang mengkritik beliau (Azam).

“Dan kritikan itu bukan soal saya suka atau tidak suka kepada Azam, tetapi untuk memastikan bahawa SPRM itu bukan sahaja bebas dan bersih tetapi mesti diyakini bebas dan bersih oleh rakyat,” katanya.

Katanya, jika unsur emosi itu boleh berlaku terhadapnya, sudah tentu ia juga menimbulkan banyak lagi tanda tanya terhadap kes SPRM sebelum ini.

Tambah Rafizi lagi, pihak berkuasa perlu mengenepikan sepenuhnya unsur emosi dalam menentukan sebarang tindakan kerana perkara itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi penguat kuasa.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman yang menasihatkan supaya tidak wujud sebarang unsur penganiayaan terhadap mana-mana individu dalam siasatan oleh SPRM.

Sebelum ini, Azam memaklumkan beliau tidak akan pernah memaafkan pihak yang telah melancarkan serangan peribadi terhadapnya dan keluarganya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN