Legasi Azam Baki di SPRM

Legasi Azam Baki di SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini bakal menjadi lembaran baharu buat Tan Sri Azam Baki yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-63 sekali gus menandakan hari terakhir beliau menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sepanjang 42 tahun ‘menyerahkan dirinya’ berkhidmat kepada negara khususnya bersama SPRM yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), jarang diketahui umum bahawa beliau sebenarnya meniti perjalanan kerjaya bermula daripada pegawai kumpulan sokongan berpangkat Penolong Penguasa pada 1984.

Ketika itu, beliau menyertai perkhidmatan bersama beberapa rakan seangkatan antaranya Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Penulis mula mengenali dan berkhidmat secara langsung di bawah kepimpinan beliau pada 2008 ketika beliau menjawat jawatan Ketua Cawangan Siasatan D di Ibu Pejabat BPR.

Kes yang dikendalikan oleh cawangan beliau kebanyakannya berprofil tinggi dan berimpak besar selari dengan pendekatan yang lebih mengutamakan kualiti serta kesan siasatan berbanding kuantiti.

Ada ketika arahan yang diberikan dilihat di luar jangkaan dan sukar difahami pada peringkat awal. Namun, selepas hasil tugasan itu membuahkan impak positif barulah terserlah rasional serta ketepatan pertimbangan beliau dalam membuat keputusan.

Di bawah kepimpinan beliau juga, penulis berpeluang mempelajari disiplin dan kemahiran untuk menjadi pegawai penyiasat yang lebih berwibawa.

Pengendalian kes kompleks yang memerlukan ketajaman analisis serta keupayaan membuat keputusan pantas menjadi pengalaman amat berharga.

Beliau turut memberi kepercayaan kepada penulis untuk mengendalikan siasatan membabitkan tokoh berprofil tinggi serta kes berkepentingan awam, antaranya melibatkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pegawai khas Menteri Besar Kedah, Naib Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL) selain projek Monsoon Cup, Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal dan sistem komunikasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hubungan kerja itu kemudiannya diteruskan di Bahagian Perisikan iaitu tempat lebih banyak ilmu dan kemahiran dikongsi bersama.

Di bahagian berkenaan, kaedah Intelligence Based Investigation (IBI) yang dipelopori beliau diperluaskan penggunaannya dan menjadi antara pendekatan utama SPRM dalam mengendalikan siasatan proaktif terhadap kes berprofil tinggi.

Ketokohan serta kredibiliti beliau sebagai pemimpin terus terserlah apabila dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 2020.

Sepanjang tempoh menerajui agensi itu, SPRM melakar pelbagai sejarah penting termasuk siasatan terhadap tiga bekas Perdana Menteri, menteri, Panglima Tentera, ketua jabatan dan ramai lagi individu berprofil tinggi.

Antara siasatan berprofil tinggi yang turut mendapat perhatian ramai ketika beliau menerajui SPRM ialah kes membabitkan Pengerusi Amanie Group serta pembantu kepada Ahli Parlimen Seputeh.

Pengendalian kes berkenaan sekali lagi memperlihatkan pendekatan SPRM di bawah kepimpinan beliau yang mengekalkan prinsip profesionalisme dan bebas daripada sebarang pengaruh dalam melaksanakan siasatan tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu terlibat.

SPRM juga berjaya mengembalikan berbilion ringgit wang negara yang diseleweng, selain mengetuai pelbagai pasukan petugas khas termasuk Multi Agency Task Force (MATF) dan pasukan petugas berkaitan isu e-waste.

Beliau meletakkan penanda aras tinggi kepada mana-mana individu yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas ini.

Walaupun sering berdepan kontroversi dan kecaman daripada pelbagai pihak, beliau kekal tenang serta profesional dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Dari sudut peribadi, beliau dikenali sebagai seorang yang prihatin terhadap keluarga, rakan sekerja dan orang di sekelilingnya. Sikap mudah mesra beliau turut disenangi pengamal media.

Sebab itulah peluang mengenali dan berkhidmat secara langsung di bawah kepimpinan beliau disifatkan sebagai pengalaman amat berharga dalam perjalanan kerjaya penulis di SPRM.

Bagi penulis, beliau bukan sekadar seorang ketua namun sebagai guru yang banyak memberi tunjuk ajar, nasihat dan panduan sepanjang perkhidmatan. Tanpa kehadiran beliau daripada tampuk kepimpinan SPRM pastinya akan dirindui dan dirasai seluruh warga agensi itu.

Terima kasih Tan Sri Azam Baki atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang lebih empat dekad kepada negara dan SPRM. – UTUSAN

HISYAM Mohd. Yusoff ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN