KEJAYAAN, teknologi dan kemajuan menjadi agenda perbualan harian masyarakat dalam dunia yang bergerak atas dasar teknologi moden dan gaya hidup alaf ke-21.
Dari celik mata di atas kamar hingga terbenamnya kita dalam mimpi, segalanya berkisar di hujung jari. Kita berhajat untuk mendapatkan kesemua yang kita hayati dengan kadar cepat, pantas dan siapsiaga di depan mata atas nama kesegeraan dan kesuntukan masa.
Namun di belakang tabirnya, kita mula mengesot dan melenyapkan satu perkasa asas yang sebenarnya selama ini membentuk diri kita iaitu keperibadian. Suatu unsur penting dalam pembinaan manusia dan ketamadunannya.
Persoalannya, semakin kita maju secara materialistik dan meninggi taraf hidup, adakah kita masih utuh dari segi nilai?

Keperibadian yang mulia bukan terhasil dalam sekelip mata atau dalam sehari. Ia terbentuk daripada amalan kecil yang menjadi rutin dan dilakukan berulang kali sehingga menjadi suatu amalan yang terikat bersama jiwa kita.
Sejak dulu masyarakat Malaysia sangat sinonim dengan budi bahasa dan nilai hormat-menghormati yang terulung.
Salam ditutur, jiran ditegur dan senantiasa melemparkan senyuman tanpa sebarang arahan atau paksaan, ia terbit secara insaniah.
Hari ini suasana ini telah berwajah baharu, ramai daripada kita lebih selesa berjalan sambil jari dan fokus mata jauh menyelinap dan memerangkap skrin telefon yang lebih bernyawa dan berdenyut, seolah-olah tiada dunia wujud di sekeliling atau berinteraksi dengan kita.
Dunianya semata-mata di dalam sekotak telefon bimbit yang bukan murah harganya. Mungkin itulah sebab musabab, sinonim bersama mesin itu lebih bermakna.
Amalan Gotong Royong
Suatu ketika dulu, sebut sahaja ada kenduri, amalan gotong royong menjadi perkara lumrah, malahan ditunggu-tunggu akan agenda tersebut tanpa paksaan atau jemputan.
Dengar sahaja bunyi periuk besar, maka bantuan dan tenaga datang tanpa diundang. Semangat kejiranan dan kekitaan menjadi asas pembentukan masyarakat.
Kini amalan itu kian pudar, lebih kepada pencarian di media sosial tentang penyedia makanan secara katering.
Amalan ini bukan sahaja menjadi lumrah di bandar-bandar malahan di mana-mana kampung. Dewan dan segala bentuk perkhidmatan disediakan, cuma tekan butang pindahan wang dalam talian, anda akan disajikan semuanya, termasuklah senyuman percuma.
Tanpa kita sedar, sebenarnya kita mula mengeringkan hubungan dan ukhwah secara perlahan-lahan dalam institusi masyarakat pada hari ini.
Ziarah-menziarahi
Amalan ziarah-menziarahi, dahulunya bertandang ke rumah jiran atau saudara mara berlangsung tanpa dijemput.
Pertanyaan khabar menyejukkan hati buat yang kadang-kadang tinggal sebatang kara di hujung kampung. Hubungan kekeluargaan begitu intim dan mesra.
Masa diluangkan dengan ahli keluarga dan dengan sanak saudara. Tiada media sosial seperti masa kini namun keakraban tetap subur dan mekar di mana jua.
Hari ini perjumpaan pada pagi hari perayaan di Malaysia, berlangsung dalam talian dan ada juga yang tiada ada masa dan ruang untuk aktiviti semudah itu. Ucapan perayaan dihantar dengan serbaringkas tanpa sentuhan naluri dan emosi yang dulunya sangat bermakna. Ke manakah arah yang kita tujui?
Satu lagi nilai yang semakin terhakis ialah menghormati orang tua. Dulu, kita diajar untuk tunduk sedikit ketika lalu di hadapan orang yang lebih tua, menggunakan bahasa yang lembut dan sopan dan sentiasa mendengar nasihat mereka.
Kini, walaupun generasi muda lebih berpendidikan dan berani menyuarakan pendapat, adab dalam berkomunikasi kadang-kadang terabai. Hormat bukan bererti tidak boleh bersuara, tetapi tahu cara dan batasnya.
Tepati Masa
Amalan menepati masa juga semakin dipandang ringan. Istilah “janji manis” yang sering digunakan secara sinis menggambarkan satu realiti yang membimbangkan dan menakutkan.
Sedangkan disiplin masa adalah cerminan peribadi seseorang. Datang lewat, tidak bersedia, atau tidak menunaikan janji mungkin nampak remeh, tetapi jika dibiarkan, ia bakal membentuk sikap yang kurang bertanggungjawab dan dikhuatiri akan menjadi amalan harian.
Masih Ada Sinar
Walaupun begitu, tidak adil untuk mengatakan semua nilai murni telah hilang. Kita masih melihat rakyat Malaysia yang prihatin dan ringan tulang, terutamanya ketika berdepan dengan musibah.
Ketika banjir atau krisis, ramai yang tampil membantu tanpa mengira kaum dan agama di pusat-pusat pemindahan sementara.
Budaya berkongsi rezeki juga masih subur, terutamanya ketika musim perayaan. Ini menunjukkan bahawa nilai baik itu masih ada dalam jiwa masyarakat, cuma perlu disuburkan kembali dalam kehidupan harian.
Jadi jelas, masih ada sinar dalam merasai suasana dan menyemai zaman keagungan budaya setempat.
Hakikatnya, membentuk peribadi tidak memerlukan perubahan besar yang mendadak. Ia bermula dengan perkara-perkara kecil.
Memberi salam, mengucapkan terima kasih, meminta maaf dan keampunan, menepati masa, dan menghormati orang lain harus digali dan disemai secara berterusan dan bukannnya secara berkala.
Dalam kesibukan harian, kita mungkin terlupa bahawa perkara-perkara inilah yang sebenarnya mencerminkan siapa diri kita yang sebenarnya.
RPM 2026 -20230
Pendidikan juga memainkan peranan penting. Bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi bagaimana nilai dan adab diterapkan sejak kecil. Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 -2030 yang dicanang oleh Kementerian Pendidikan harus dihayati dan dilaksanakan secara bersungguh dan berintegriti.
Pengoperasian yang berjiwa masyarakat pastinya akan membawa nakhoda pelayaran pendidikan negara, yang berhasrat melahirkan murid yang tinggi nilai sahsiah dan keperibadian yang mulia akan menjadi kenyataan.
Akhirnya, kita perlu bertanya kepada diri sendiri. Dalam kita mengejar kemodenan, adakah kita secara perlahan meninggalkan nilai yang suatu ketika dahulu menjadi kekuatan masyarakat kita?
Kemajuan sebenarnya tidak seharusnya mengorbankan jati diri individu dan masyarakat.
Malah, masyarakat yang benar-benar maju ialah masyarakat yang mampu mengekalkan nilai dan keperibadian yang tinggi sambil memacu ke hadapan dengan senyuman di bibir.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menghidupkan kembali amalan-amalan lama yang pernah membentuk kebersamaan. Tidak perlu menunggu orang lain. Cukup bermula dengan diri sendiri.
Kerana perubahan besar dalam masyarakat sebenarnya bermula daripada langkah kecil setiap individu yang menjadi asas pembentukan bangsa. – UTUSAN
T. ELANSEGARAN ialah Pensyarah Bahasa Inggeris, Jabatan Sastera dan Sains Ikhtisas, Kolej Matrikulasi Pahang.









