GEORGE TOWN: Kerajaan negeri hari ini menafikan dakwaan berlakunya penjualan hartanah pada harga rendah kepada warga asing, sebaliknya menjelaskan ia adalah sebahagian pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi mengurangkan lambakan unit tidak terjual selepas pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, terdapat kekeliruan berhubung harga jualan hartanah kepada warga asing di negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan pelaksanaan kempen HOC yang diadakan antara tahun 2020 hingga 2024.
Beliau berkata, harga siling pembelian oleh warga asing yang diturunkan kepada RM400,000 bagi hartanah berstrata di Seberang Perai semasa HOC tersebut dilaksanakan bertujuan mengurangkan jumlah unit kediaman tidak terjual di negeri itu.
”Sebahagian hartanah yang dijual semasa HOC tersebut didaftarkan pada tahun 2025. Maka, ini tidak bermakna hartanah berkenaan dijual pada harga rendah pada tahun 2025,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah dan ADUN Pembangkang mempersoalkan penjualan 365 unit hartanah kepada warga China dengan purata harga RM411,506 membabitkan nilai transaksi keseluruhan RM150.2 juta pada tahun lalu.
Sundarajoo berkata, 365 unit yang disebut itu merangkumi pelbagai jenis pemilikan, termasuk kebanyakannya adalah jualan biasa tanpa sebarang pengurangan harga.
”Jualan tersebut termasuk urus niaga probet mahkamah, pemindahan antara ahli keluarga serta unit Malaysia My Second Home (MM2H) yang dijual tanpa rebat,” katanya.
Beliau berkata, hanya 15 unit sahaja yang dijual dalam lingkungan harga antara RM400,000 hingga RM1.5 juta di bawah HOC.
”Kesimpulannya, pihak pembangkang telah menggunakan jumlah nilai keseluruhan jualan dan membahagikannya dengan jumlah transaksi untuk mendapatkan angka RM411,000, namun kaedah ini tidak tepat kerana setiap transaksi mempunyai nilai berbeza,” katanya.
Jelas Sundarajoo, dasar pengurangan had harga minimum itu tidak dikhususkan kepada pembeli dari China semata-mata, sebaliknya, terpakai kepada semua warga asing sepanjang tempoh HOC dilaksanakan.
Katanya, kerajaan negeri kini telah mengembalikan semula kadar minimum asal pembelian hartanah warga asing bermula tahun ini selepas dasar HOC tamat pada Disember 2024.
”Sekarang kita kembali kepada harga normal. Untuk strata di Seberang Perai, minimum kembali kepada RM500,000 manakala di kawasan pulau pula RM1 juta,” katanya. – UTUSAN










