GEORGE TOWN: Pembangkang di negeri ini mempersoalkan pemilikan hartanah oleh warga asing pada harga lebih rendah berbanding syarat ditetapkan di bawah Program Malaysia My Second Home (MM2H).
Ia selepas data rasmi menunjukkan pemilihan hartanah oleh warga China pada harga purata jauh lebih rendah daripada had minimum ditetapkan di bawah program berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah mendakwa, perkara itu menimbulkan persoalan serius berhubung kemungkinan wujud kelemahan dalam sistem pemilikan hartanah negeri yang membolehkan pembeli asing memperoleh rumah pada harga rendah.
Menurut beliau, berdasarkan jawapan rasmi bagi soalan bertulis dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15, warga China dilaporkan memiliki 365 buah rumah di negeri itu dengan nilai keseluruhan RM150.2 juta.
Katanya, angka tersebut bermakna purata harga rumah hanya sekitar RM411,506 seunit, disifatkan jauh lebih rendah daripada syarat minimum harga hartanah untuk pemilikan warga asing.
“Purata harga hartanah sekitar RM411,506 ini amat luar biasa dan sama sekali tidak boleh diterima kerana ia jauh di bawah had minimum yang ditetapkan daripada syarat program MM2H.
“Jika kita merujuk dokumen (MM2H) kategori perak hingga kategori emas, kategori perak jelas menyatakan nilai pembelian kediaman perlu sekitar RM600,000 dan ke atas, bukannya harga purata seperti yang ditemui dalam jawapan (bertulis) yang diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan DUN Pulau Pinang, hari ini.
Beliau berkata, sebagai perbandingan, pembelian hartanah oleh warga Taiwan pada 2026 melibatkan 15 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM18.2 juta atau purata sekitar RM1.2 juta seunit yang menurutnya lebih selaras dengan kerangka perundangan sedia ada.
Menurut Izhar Shah, kategori harga sekitar RM400,000 seunit sepatutnya lebih memfokuskan kepada keperluan rakyat tempatan terutama pembeli rumah pertama dan bukannya dimiliki pembeli asing.
“Kerajaan negeri mesti menyiasat bagaimana spekulator asing dari tanah besar China boleh memperoleh rumah pada harga serendah itu. Adakah terdapat kelompongan dalam sistem perundangan dan pemilikan hartanah yang sedang dieksploitasi,” katanya.
Beliau berkata, kemasukan pembeli asing ke dalam segmen perumahan kos rendah dan sederhana dibimbangi memberi kesan langsung kepada kestabilan sosioekonomi rakyat negeri itu yang kini berdepan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, bukan sahaja beliau, malah seluruh wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang mahu kerajaan negeri menjalankan siasatan menyeluruh selain memberikan penjelasan telus daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Kerajaan juga perlu menilai kesan terhadap rakyat Pulau Pinang yang masih bergelut untuk memiliki rumah pertama. Kami mendesak agar penguatkuasaan diperketatkan, segala kelompongan ditutup dan dasar perumahan negeri benar-benar mengutamakan rakyat tempatan,” katanya. – UTUSAN










