Menara Paragon jadi lokasi tumpuan warga asing digempur Imigresen

Menara Paragon jadi lokasi tumpuan warga asing digempur Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur Menara Paragon, Cyberjaya pada Rabu lalu selepas dipercayai menjadi tumpuan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu memberi tumpuan pemeriksaan ke atas premis menjual makanan, kiosk, pusat jualan serta premis perniagaan di sekitar kawasan berkenaan yang disyaki menggaji dan melindungi warga asing tanpa kebenaran yang sah.

“Sebanyak 16 premis serta 105 warga asing dan 89 warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.

“Hasil pemeriksaan, seramai 13 warga asing yang terdiri dari warga Sudan, India, Pakistan, Nepal, Myanmar dan Indonesia berumur di antara 26 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua warga asing tersebut ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Jelas Zakaria, JIM terus mempergiat usaha penguatkuasaan dengan memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan yang didominasi warga asing.

“Tindakan ini dilaksanakan sebagai komitmen berterusan JIM dalam membanteras aktiviti menyalahi peraturan serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus dipelihara tanpa sebarang kompromi.

“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN