Program Perlis Dengar Rintihan Rakyat diteruskan dengan penambahbaikan - Utusan Malaysia

Program Perlis Dengar Rintihan Rakyat diteruskan dengan penambahbaikan

ABU Bakar Hamzah dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan meneruskan penganjuran Program Perlis Mendengar Rintihan Rakyat dengan beberapa penambahbaikan bagi mencapai objektif pelaksanaannya.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, program tersebut menjadi platform buat rakyat menyuarakan sebarang bentuk ketidakpuasan hati secara terus kepada kerajaan negeri.

Katanya, menerusi program itu, kerajaan negeri menggunakan pendekatan baharu di mana rakyat bebas mengadu masalah dihadapi mereka untuk diambil tindakan segera.

“Namun begitu, saya juga merasakan perlunya beberapa penambahbaikan dilakukan segera terhadap penganjuran program ini.

“Antaranya dengan membahagikan tugas pengendalian program tersebut kepada dua agensi berbeza selepas ini. Jika sebelum ini Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengendalikan program sepenuhnya, selepas ini pihak berkuasa tempatan (PBT) itu hanya akan memfokuskan kepada pengurusan dan persiapan tempat supaya lebih tersusun.

“Manakala urusan tadbir jemputan membabitkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), wakil rakyat, Ahli Parlimen, Senator serta orang awam pula akan diserahkan kepada Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD),” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Menteri Besar hari ini.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, kritikan di media sosial berhubung dakwaan program berkenaan hambar dan lebih ramai dihadiri wakil agensi kerajaan daripada orang awam juga merupakan satu bentuk cabaran yang positif.

“Komen-komen itu biasa dengan selalunya yang baik orang sokong dan diam, yang tidak berapa cantik orang akan bercakap.

“Apa sekali pun, saya anggap teguran dan hantaran di media sosial itu dari sudut positif sebagai satu cabaran dan pembakar semangat untuk saya mentadbir negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN