Kerajaan negeri buat laporan polis penularan dokumen pertukaran penjawat awam - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri buat laporan polis penularan dokumen pertukaran penjawat awam

ABU BAKAR HAMZAH.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri menerusi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis membuat laporan polis berhubung penularan salinan dokumen pertukaran penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, laporan polis itu dibuat bagi menafikan penularan dokumen tersebut dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat SUK Perlis.

“Laporan polis itu dibuat bagi menafikan tularnya dokumen itu adalah melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat SUK Perlis,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendedahkan beberapa salinan dokumen pertukaran penjawat awam di negeri ini menerusi laman sosial beliau.

Menerusi kemaskini itu, Chegubard mendakwa kerajaan negeri telah bertindak agresif bagi menukarkan penjawat awam keluar dari Perlis.

Dokumen dilampirkan itu juga dikatakan hanya memaparkan sebahagian dari pertukaran tersebut termasuk membabitkan penjawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Abu Bakar berkata, isu dibangkitkan itu adalah merupakan perkara biasa malah kerajaan negeri sememangnya ada mencadangkan beberapa pertukaran sebelum ini.

“Kita ada cadang beberapa pertukaran bagi tempat-tempat yang kita rasa perlu. Tapi bukan keseluruhan seperti mana ditularkan. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sendiri juga akan menilai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN