KANGAR: Sebanyak 30 peratus pertubuhan perniagaan di negeri ini telah menjalani bancian di bawah pelaksanaan operasi Banci Ekonomi (BE) 2026 bagi fasa pertama.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pelaksanaan BE 2026 adalah mengikut tiga fasa dan merupakan usaha nasional yang penting dalam memperkukuh ekosistem data ekonomi negara.
Katanya,, terdapat sekitar 10,000 pertubuhan di negeri ini akan terlibat dengan BE 2026 melibatkan lima sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pegkuarian serta pertanian.
“Pelaksanaan BE 2026 dilaksana mengikut tiga fasa di mana fasa pertama bermula pada Januari sehingga Februari 2026, fasa kedua pula pada Mac hingga Jun 2026 manakala fasa ketiga adalah pada pada Jun hingga Oktober 2026,” katanya pada Sesi Libat Urus BE 2026 Peringkat Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia, di sini, hari ini.
Majlis yang disempurnakan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah itu turut dihadiri seramai 140 peserta.
Mohd Uzir berkata, ketepatan dan kelengkapan maklumat yang disumbangkan oleh setiap pertubuhan adalah amat penting dalam memastikan setiap dasar ekoomi yang digubal adalah berasaskan realiti dan keperluan semasa.
“Kejayaan pelaksanaan BE 2026 bukan hanya terletak pada keupayaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semata-mata, namun turut bergantung kepada kerjasama padu daripada semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, BE 2026 juga adalah selaras dengan dasar pembangunan negeri Perlis meliputi Rancangan Struktur Negeri 2040 (Kajian Semula), Pelan Strategik Pembangunan Negeri Perlis dan Pelan Digital Perlis.
Katanya, melalui pelaksanaan BE 2026, negara akan memiliki data baseline struktur ekonomi yang komprehensif dan terkini.
“Data yang dikumpul melalui bancian itu akan menjadi input penting dalam penggubalan dasar fiskal, monetari, sosial dan pembangunan, di samping membantu kerajaan menilai keberkesanan program sedia ada,” katanya.-UTUSAN










