Hubungan Pas-Bersatu Perlis kembali dingin - Utusan Malaysia

Hubungan Pas-Bersatu Perlis kembali dingin

MOHAMAD FAIZAL ABD MATALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dingin ekoran krisis politik Disember tahun lalu masih berlarutan selepas wakil rakyat parti Islam itu mula mempersoal kepemimpinan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah ekoran penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib berkata, perkembangan terbaharu di Perlis itu memberi isyarat kuat bahawa hubungan Bersatu dan Pas masih belum benar-benar pulih, kesan daripada krisis lalu yang menyaksikan Mohd. Shukri Ramli melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

Kata Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah UUM itu, penangguhan sidang DUN Perlis yang kemudian disusuli dengan desakan enam wakil rakyat Pas supaya Menteri Besar memberi penjelasan segera menunjukkan wujudnya defisit kepercayaan dalam kerajaan negeri.

“Walaupun Pas menafikan tidak akan melakukan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, namun hakikat bahawa penafian berkenaan tidak cukup bagi menggambarkan tahap spekulasi dan keresahan politik yang tinggi di antara kedua-dua parti politik sekutu di dalam Perikatan Nasional (PN) itu.

“Pada hemat saya, penangguhan sidang DUN ini bukan isu prosedural semata-mata namun ia perlu dibaca sebagai sambungan kepada krisis kuasa yang belum selesai sejak Disember lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan daripada Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang disifatkan oleh mereka tidak pernah berlaku sebelum-sebelum ini.

Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri (Sanglang) bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).

Wakil rakyat dari Pas itu turut mengingatkan Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis supaya tidak takut dengan bayang-bayang sendiri kononnya bakal berlaku undi tidak percaya terhadap beliau di dalam sidang DUN berkenaan.

Sidang DUN tersebut sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Disember lalu yang menyaksikan Mohd. Shukri meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Krisis tercetus selepas lapan ADUN PN iaitu tiga dari Pas dan lima dari Bersatu didakwa mengemukakan akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Mohamad Faizal berkata, tanda-tanda keretakan hubungan antara Pas dan Bersatu itu sebenarnya sudah lama berlaku sehingga Raja Perlis dalam titah semasa pelantikan Abu Bakar sebagai Menteri Besar menyeru agar kedua-dua parti politik itu kembali merapatkan hubungan seterusnya bekerja sebagai satu pasukan.

“Saya juga melihat penangguhan sidang DUN Perlis ini bukan isu terpencil, sebaliknya kesinambungan kepada krisis keyakinan antara Pas dan Bersatu yang bermula sejak pertukaran Menteri Besar pada Disember tahun lalu.

“Walaupun kedua-dua parti masih bersama di dalam PN, namun perkembangan semasa menunjukkan hubungan mereka kekal dingin, bersifat taktikal dan belum benar-benar reda,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN