KANGAR: Kerajaan negeri akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat susulan daripada pertemuan membabitkan pimpinan Pas dan UMNO, semalam.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, sebarang situasi yang berlaku pada ketika ini wajar meletakkan agenda penyatuan Melayu sebagai keutamaan.
Beliau berkata, parti-parti politik Melayu di negara ini juga perlu bersatu dan berada dalam satu barisan bagi mempertahankan hak serta keistimewaan golongan berkenaan.
“Bagi saya, kita akan tunggu dan lihat keadaan sekarang ini. Yang pentingnya adalah penyatuan orang-orang Melayu. Dalam parti pun, seeloknya kita duduk dengan baik.
“Apa sahaja masalah, kita bincang elok-elok, tidak payah bergaduh. Rakyat adalah hakim untuk menentukan hala tuju kepimpinan negara, itu yang paling penting sekali,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Abu Bakar berkata demikian ketika ditanya mengenai pengesahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung perjumpaan antara pimpinan parti Islam itu dengan UMNO di ibu negara, semalam.
Ahli Parlimen Marang itu mengatakan bahawa perjumpaan tersebut sebagai pertemuan biasa malah beliau juga turut tidak hadir bersama dalam perjumpaan itu.
Selain itu, Abdul Hadi turut menyifatkan usaha untuk menghidupkan semula gagasan Muafakat Nasional (MN) adalah selaras dengan konsep Pas dalam memperkukuh landskap politik Melayu dan umat Islam.
Mengulas mengenai perjalanan persidangan DUN kali ini, Abu Bakar berkata, segala proses berjalan dengan lancar malah setiap ADUN turut berbahas dan berucap dengan sempurna tanpa menyentuh peribadi mana-mana pihak.
“Di sinilah kita nak pertahankan hubungan kerajaan PN, itu yang penting sekali. Hubungan antara ADUN-ADUN dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN










