KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis perlu mengenepikan segala bentuk provokasi politik dan bersatu hati membantu kepemimpinan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah meneruskan agenda pembangunan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Digital negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, kepemimpinan kerajaan negeri di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) ketika ini tidak sewajarnya dijadikan sebagai medan perbalahan, sebaliknya memerlukan sokongan dan kerjasama utuh setiap wakil rakyat.
Beliau berkata, seluruh ADUN sewajarnya menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahukan pentadbiran sedia ada diteruskan tanpa sebarang kacau- ganggu bagi memastikan agenda memajukan negeri dapat direalisasikan.
“Saya mengajak sahabat-sahabat untuk kita renungkan bersama. Kalau saya boleh berikan dukungan tanpa sebarang provokasi sekali pun, apalah salahnya andai hari ini, kita sama-sama duduk dalam kerajaan PN untuk membantu Menteri Besar meneruskan agenda kita.
“Ini bukan masa untuk berlawan, sampai masanya kelak, andai kata gendang sudah pun dipalu, kita angkat senjata dan kita lawan. Kalau takdir mengatakan kita bersama, kita bersama, andai kata takdir memisahkan kita, apakan daya,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Pada perasmian penggal persidangan keempat DUN Perlis ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini, Rabu lalu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah agar Abu Bakar diberikan ruang untuk terus memimpin negeri ini sehingga ke akhir penggal tanpa sebarang kacau-ganggu yang merencatkan segala perancangan telah dirangka.
Baginda juga mengingatkan setiap ADUN untuk meletakkan keutamaan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Wan Zikri berkata, rakan-rakan ADUN juga disaran agar menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat secara harmoni dan berhemah.
“Ini bukan satu perbahasan provokasi, tidak. Saya ingin mengajak kepada semua sahabat-sahabat di sana untuk sama-sama kalau boleh, bersembanglah elok-elok tiada masalah.
“Kita perlu menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan menyokong penuh ketegasan ini agar kita dapat menjadikan negeri Perlis terus maju ke hadapan,” katanya.-UTUSAN










