‘Bila saya sahkan wujud SD, kenyataan SD teguran untuk KP Pas Perlis - MB - Utusan Malaysia

‘Bila saya sahkan wujud SD, kenyataan SD teguran untuk KP Pas Perlis – MB

ABU BAKAR HAMZAH.-UTUSAN.ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah menjelaskan bahwa beliau tidak pernah mengesahkan mengenai kewujudan akuan bersumpah (SD) menjatuhkan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Katanya, kenyataan beliau sebelum itu hanyalah sekadar teguran dan saranan kepada Ketua Pemuda Pas negeri, Haziq Asyraf Dun agar polemik lapuk berhubung isu dokumen tersebut dihentikan segera.

Beliau berkata, proses pelantikan Menteri Besar sebelum ini dibuat secara teratur malah setiap wakil rakyat dipanggil menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail secara berasingan.

“Macam yang saya sebut semalam, isu SD itu, saya pun tidak sebut dan kita pun tidak tahu kewujudannya, sebab kita dipanggil satu persatu oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Raja Perlis).

“Saya juga tidak sebut ada atau pun tidak, saya cuma minta ia dihentikan. Walau macam mana pun, sekiranya ada perkara-perkara ini, kita lenyapkan. Cuma saya bagi saranan dan teguran kepada Ketua Pemuda Pas, berkaitan dengan SD ini, kita hentikanlah.

“Kita fokus kepada persidangan dan fokus kepada persiapan jentera pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Pemuda Pas kekal dengan pendirian dan percaya dengan kewujudan gerakan menandatangani SD melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usaha menjatuhkan Mohd Shukri.

Haziq Asyraf berkata, pendedahan itu dibuat berdasarkan pengakuan tiga bekas ADUN Pas yang terhenti keahliannya semasa pertemuan bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Harian Pas Pusat pada 21 Disember tahun lalu.

Abu Bakar berkata, pihaknya juga kekal dengan pendirian di mana perkara berkaitan SD itu tidak sepatutnya ditimbulkan memandangkan sudah lama dan ia cuba dibangkitkan semula oleh pihak tertentu.

“Perikatan Nasional (PN) negeri juga akan terus berjuang untuk memastikan perpaduan dan penyatuan gabungan itu dipelihara demi memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

“Hari ini sudah terang lagi bersuluh bahawa benda itu tidak akan dibangkitkan lagi, insya-Allah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN