KANGAR: Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Husna Hashim menolak lantikan sebagai setiausaha akhbar di pejabat Menteri Besar.
Sambil memohon maaf kepada Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, Husna berkata, keputusan itu dibuat atas sebab-sebab tidak dapat dikongsikan.
Bagaimanapun, beliau berterima kasih dan menghargai tawaran jawatan tersebut yang dianggap sebagai satu penghormatan.
“Saya faham dalam keadaan suasana politik di Perlis yang agak panas dan bergelora, ini adalah antara usaha YAB (Abu Bakar) untuk mengharmonikan keadaan kita (Pas-Bersatu).
“Saya yakin YAB sentiasa berusaha untuk memberikan penumpuan kepada kebajikan dan keutamaan rakyat Perlis,” katanya di sini hari ini.
Semalam, semasa sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Abu Bakar mengumumkan pelantikan Husna sebagai setiausaha akhbar di pejabat Menteri Besar.
Turut diumumkan pelantikan Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil sebagai Penyelaras DUN Guar Sanji susulan kekosongan luar jangka di kawasan berkenaan.
Selain itu, Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Kangar, Jamil Kamis dilantik Penyelaras DUN Bintong manakala Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Padang Besar, Abdul Aziz Ahmad dilantik sebagai Penyelaras DUN Chuping.
Sementara itu, Husna mendoakan semoga usaha murni dilakukan Abu Bakar untuk rakyat Perlis akan dipermudahkan dan semoga kepimpinan beliau dan wakil rakyat Bersatu serta Pas diberkati oleh Allah SWT.-UTUSAN










