KENYATAAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa tidak ada pakatan menjatuhkan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, menoktahkan seketika krisis politik di negeri ini.
Abu Bakar menghargai sokongan dinyatakan kepimpinan Pas tersebut yang memberi jaminan bahawa beliau kekal menerajui pentadbiran negeri sehingga habis penggal.
Ruang dan masa yang ada berbaki tidak sampai dua tahun menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah lebih baik digunakan oleh Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam PN untuk kembali mengukuhkan hubungan.
Beri ruang kepada Abu Bakar menumpukan kerja-kerja mentadbir negeri ini demi kepentingan rakyat Perlis yang sebelum ini tidak habis-habis disajikan dengan ‘drama’ dan kemelut politik.
Sepanjang lebih 100 hari Abu Bakar sebagai Menteri Besar, beliau dilihat begitu komited khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat.
Banyak program berbentuk kebajikan sepanjang tempoh tersebut yang sekurang-kurangnya rakyat dapat juga merasainya.
Meskipun tidak sempurna, namun ‘effort’ atau usaha keras beliau itu wajar dihargai.
Dalam aspek pembangunan, ekonomi dan pelaburan, beri sedikit masa dan ruang kepada Abu Bakar bersama pasukan merencana semula.
Sebarang usaha atau cubaan untuk menjatuhkan Abu Bakar dalam tempoh ini sangat tidak sesuai memandangkan PRU16 sudah tidak lama lagi dan ia bukan sesuatu yang menguntungkan.
Adakah PN mahu mentadbir Perlis hanya untuk tempoh satu penggal sahaja ?.
Jika tidak, buktikan kepada rakyat bahawa gabungan tersebut layak untuk terus menerajui negeri ini.
Bagi mengembalikan keyakinan rakyat, PN perlulah kekal stabil dan kukuh.
Kepercayaan dan keikhlasan penting dalam sesuatu hubungan dan bagi memastikan PN benar-benar kukuh, pulihkan kembali kepercayaan dan keikhlasan itu.
Rakyat sekarang sebenarnya sudah tidak kisah dengan ‘drama’ politik, apa yang penting bagi mereka, perut seisi keluarga dapat diisi.
Itu antara yang diberi tumpuan oleh Abu Bakar dalam menjaga kebajikan rakyat.
Krisis pada Disember tahun lalu sehingga menyaksikan Mohd. Shukri Ramli dari Pas melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar sudah berlalu.
‘Move on’, beri ruang kepada Menteri Besar baharu membuktikan kemampuan.
Sebagai rakyat yang cerdik, kita sendiri tahu menilai, jika ada mana-mana pemimpin atau wakil rakyat termasuk Menteri Besar yang prestasinya tidak memuaskan, tunggu PRU16.
Pada masa ini, berilah ruang kepada Abu Bakar dan elaklah sebarang usaha atau cubaan yang boleh menggugat kestabilan politik di negeri ini.-UTUSAN










