Tiga fokus perkasa sektor pengeluaran makanan - MB - Utusan Malaysia

Tiga fokus perkasa sektor pengeluaran makanan – MB

ABU Bakar Hamzah pada Majlis Perasmian Perlis Agrofest 2026 di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan memberi fokus kepada tiga kaedah memperkasa sektor pengeluaran makanan yang menjadi keperluan penting terhadap keselamatan negara khususnya dengan perkembangan peperangan di Asia-Barat ketika ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, fokus pertama adalah melibatkan kaedah pembangunan projek pertanian dan fokus kedua pula membabitkan reformasi padi dan beras.

Katanya, fokus ketiga yang diberikan tumpuan adalah memperluaskan penggunaan teknologi.

“Bagi tahun 2026, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM11.5 juta secara khusus bagi pembangunan sektor pertanian negeri.

“Peruntukan itu juga akan dimanfaatkan secara menyeluruh merangkumi pembangunan infrastruktur pertanian, penggunaan teknologi moden serta pelaksanaan program latihan dan bimbingan bagi memastikan sektor ini terus berdaya saing.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kelulusan peruntukan berjumlah RM18.9 juta bagi tempoh 2024 hingga 2026 termasuk RM7.791 juta untuk tahun 2026 bagi pembangunan sektor pertanian di negeri ini melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan dan Program Pemerkasaan Agromakanan Negara,” katanya pada Majlis Perasmian Perlis Agrofest 2026 di sini semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Abu Bakar berkata, penganjuran Perlis Agrofest 2026 menawarkan pelbagai tarikan utama yang mampu menarik minat pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, program itu bukan sekadar acara pameran dan jualan malah merupakan platform strategik dalam memperkasakan sektor pertanian serta penternakan sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negeri.

Beliau berkata, kelainan pada program tahun ini membabitkan penganjuran Himpunan Lembu Sado 5.0 dengan kerjasama Persatuan Penternak Ruminan Negeri Perlis dan Koperasi Ternakan Lembu Sado Utara Berhad.

“Program ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dalam mempromosikan baka lembu sado berkualiti tinggi serta memperkenalkan amalan penternakan yang baik kepada para penternak tempatan.

“Malah ia juga dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung serta memberi peluang kepada penternak mempromosikan baka ternakan yang berkualiti tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN