Perlis perkukuh pertumbuhan ekonomi menerusi penerokaan sektor baharu: MB - Utusan Malaysia

Perlis perkukuh pertumbuhan ekonomi menerusi penerokaan sektor baharu: MB

ABU Bakar Hamzah bersempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Ke-83 di Istana Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perlis memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui penerokaan sektor-sektor baharu yang mampu memberikan nilai tambah tinggi buat rakyat dan negeri ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, buat masa ini, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi khususnya dalam sektor industri berteknologi, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital serta pembangunan sempadan.

Katanya, usaha tersebut penting bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak-anak Perlis dalam mengurangkan penghijrahan tenaga kerja muda ke negeri-negeri lain.

“Kerajaan negeri juga amat prihatin terhadap cabaran peningkatan kos sara hidup yang dirasai rakyat ketika ini. Justeru, pelbagai inisiatif bantuan kebajikan, program pembangunan usahawan, pemerkasaan ekonomi komuniti serta bantuan pendidikan terus dipergiat bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya bersempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ke-83 di Istana Arau di sini hari ini.

Abu Bakar berkata, selain itu, kerajaan negeri juga sedang giat memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan melalui pembangunan sektor pertanian moden.

Katanya, pendekatan ini bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti sektor pertanian, malah menyokong agenda peralihan tenaga hijau dan pembangunan mampan negeri.

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk meneruskan agenda pembangunan negeri secara inklusif, progresif dan mampan agar kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata, aspek tadbir urus yang cekap dan reformasi perkhidmatan awam turut diberi perhatian serius melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti Reformasi Kerenah Birokrasi dan Reformasi Budaya Kerja bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta pelabur.

Katanya, kerajaan negeri percaya bahawa sistem pentadbiran yang responsif, telus dan berintegriti merupakan asas penting kepada keyakinan rakyat dan pembangunan negeri.

“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri terus memperkasakan integriti penjawat awam dengan melaksanakan program-program bagi memperkukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus serta kerjasama dengan pihak berautoriti.

“Kerajaan negeri sentiasa bersedia mendengar aduan rakyat melalui saluran rasmi disediakan. Segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan ini bertujuan memastikan negeri ini terus bergerak maju secara seimbang serta tiada golongan rakyat tercicir daripada arus pembangunan negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN