PPSM bidas penjualan sijil 'ASEAN Record', dakwa tidak sah

PPSM bidas penjualan sijil ‘ASEAN Record’, dakwa tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penjualan sijil serta plak dibawah ‘ASEAN Record’ kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan bayaran mencecah puluhan ribu ringgit menimbulkan keraguan dan dipercayai dibuat secara tidak sah.

Presiden Persatuan Pengguna Semenanjung Malaysia (PPSM), Sharif Ahmad berkata, pihak persatuan telah menerima aduan daripada syarikat dan orang awam dengan mendakwa mereka didekati sebuah syarikat swasta yang menawarkan pengiktirafan tersebut dengan caj yang tinggi.

Menurut beliau, penggunaan nama ‘ASEAN’ bagi tujuan komersial oleh pihak swasta adalah sesuatu yang meragukan kerana ASEAN merupakan blok antara kerajaan yang dianggotai negara Asia Tenggara dan bukannya entiti perdagangan.

“ASEAN tidak membenarkan nama organisasi itu digunakan untuk tujuan komersial atau pengeluaran sijil dan rekod berorientasikan keuntungan oleh pihak swasta. Perkara ini selaras dengan amalan organisasi serantau lain seperti Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan Afrika (AU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang tidak pernah mengeluarkan pengiktirafan komersial melalui entiti persendirian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PPSM turut memperoleh surat pengesahan daripada Sekretariat ASEAN yang mengesahkan bahawa badan serantau itu tidak menyokong atau membenarkan kutipan bayaran daripada orang ramai bagi tujuan pengiktirafan sedemikian melalui pihak ketiga yang tidak diberi kuasa.

Katanya, tindakan menjual ‘ASEAN Record’ kepada PKS tempatan dengan nilai bayaran besar bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi mencemarkan reputasi ASEAN dan menyebabkan kerugian kewangan serius kepada syarikat kecil.

“PPSM mengutuk keras penjualan rekod dan sijil ‘ASEAN Record’ yang tidak mendapat kebenaran rasmi. Kami menggesa mana-mana syarikat yang terkesan supaya tampil membuat aduan kepada PPSM dan mendapatkan pengesahan terus daripada Sekretariat ASEAN sebelum membuat sebarang pembayaran,” katanya.

Dalam pada itu, Sharif turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan pertimbangan waras dan melakukan semakan terperinci sebelum menerima sebarang tawaran berkaitan pengiktirafan ASEAN.

“Jangan mudah tertekan atau terpedaya untuk membayar sejumlah wang bagi pengiktirafan yang meragukan. Jika sesuatu tawaran itu kelihatan tidak rasmi atau melibatkan bayaran kepada individu atau syarikat swasta yang mendakwa mewakili ASEAN, maka ia perlu diragui dan disemak dengan teliti,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa ASEAN ialah sebuah badan antara kerajaan yang diwakili oleh ketua-ketua kerajaan negara anggota, termasuk Malaysia yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas tindakan lanjut, PPSM memaklumkan pihaknya kini sedang mengumpulkan semua aduan berkaitan sebelum merujuk kes yang disahkan kepada pihak berkuasa penguat kuasa untuk siasatan lanjut.

Selain itu, persatuan tersebut akan terus bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN dan agensi perlindungan pengguna bagi mengenal pasti serta menghentikan amalan penipuan berkenaan.

Dalam nasihat kepada orang ramai dan syarikat SMEs, PPSM menggesa supaya setiap dakwaan berkaitan pengiktirafan ASEAN disemak terus dengan Sekretariat ASEAN melalui saluran rasmi.

“Minta dokumen bertulis yang boleh disahkan serta pengesahan bebas sebelum membuat sebarang pembayaran. Simpan semua resit, rekod komunikasi dan dokumen sekiranya pernah dihubungi atau telah membuat bayaran berkaitan sijil tersebut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin mendapatkan bantuan boleh menghubungi talian WhatsApp PPSM di 011-6794 7194 atau emel ke [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN