PADANG BESAR: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Semadong-Beseri, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu sekitar pukul 2.30 petang melibatkan sebuah motosikal dan kereta yang belum dikenalpasti.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebelum kejadian berkenaan, pelajar itu sedang menunggang motosikal dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beseri ke rumahnya di Kampung Jalan Kaki Bukit melalui Jalan Bukit Merah, Semadong.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta dipercayai telah masuk ke simpang secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan itu sebelum jatuh di atas jalan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Shokri berkata, siasatan juga mendapati pemandu kereta tersebut dipercayai telah meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemalangan tersebut berlaku.
Beliau berkata, buat masa ini, identiti dan nombor pendaftaran kenderaan terlibat juga masih belum dikenalpasti oleh pihak polis.
“Akibat kemalngan itu, mangsa telah mengalami cedera parah dengan pendarahan dalam kepala, luka pada bahagian dagu serta patah kaki kanan.
“Mangsa juga kini masih sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar susulan kemalangan tersebut,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan serta lesen memandu boleh diendorskan oleh mahkamah.
“Sehubungan itu, polis memohon kerjasama pemilik kenderaan itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 016-5876810,” katanya.-UTUSAN










