PM beri tempoh dua minggu laporan tambahan tingkat prestasi SMK Banggi

PM beri tempoh dua minggu laporan tambahan tingkat prestasi SMK Banggi

ANWAR Ibrahim ketika Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi di Dewan Terbuka Pekan Baru Pulau Banggi, Sabah. - FACEBOOK PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi di sini untuk menyediakan laporan lengkap mengenai langkah tambahan bagi meningkatkan prestasi sekolah terbabit.

Perdana Menteri berkata, laporan itu perlu disediakan pengurusan sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pengarah Pendidikan Sabah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan SMK Banggi muncul sebagai contoh kecemerlangan pendidikan luar bandar dan pusat pembangunan modal insan di kawasan pulau terpencil.

Menurutnya, kerajaan bersedia meneliti segala keperluan tambahan sekolah berkenaan, namun pihak sekolah perlu menetapkan sasaran jelas agar pencapaian pelajar terus meningkat berbanding tahun sebelumnya.

“Sebarang keperluan tambahan boleh dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan supaya sekolah ini tidak berdepan kekurangan kemudahan asas yang boleh menjejaskan usaha meningkatkan pencapaian pelajar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi di Dewan Terbuka Pekan Baru Pulau Banggi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, anak-anak di Pulau Banggi tetap mampu berjaya meskipun tinggal di kawasan terpencil sekiranya diberi perhatian serius dalam bidang pendidikan.

Katanya, pendidikan berkualiti bukan sahaja mampu mengubah kehidupan pelajar daripada keluarga miskin, malah membolehkan mereka menyumbang kepada keluarga dan masyarakat setempat.

“Pulau Banggi ini antara rantau pulau paling terpencil di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Tahun 1994, ada yang mengeluh kerana tidak cukup kemudahan pendidikan sekolah menengah dan kita harus beri tumpuan. Saya minta ibu bapa beri tumpuan kerana anak-anak dari keluarga yang paling miskin dari pulau paling terpencil, kalau ditumpukan bidang pendidikan, mereka boleh naik kerana mutu pendidikan yang diperoleh dan memberi sumbangan kepada keluarga dan masyarakat,” katannya.

Anwar berkata, lawatannya ke SMK Banggi turut mengimbau kenangan ketika beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan meletakkan batu asas pembinaan sekolah itu pada 1994.

Beliau berkata, sekolah terbabit kini bukan sahaja tersergam indah, malah berjaya melahirkan pelajar terlatih dan menyediakan pendidikan tingkatan enam atau prauniversiti di Pulau Banggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN