KUALA LUMPUR: Piala Dunia Sepak Takraw 2026 bukan lagi sekadar gelanggang merebut kejuaraan, sebaliknya menjadi pentas yang memperlihatkan evolusi besar sukan tradisi Asia itu menuju status sukan bertaraf global.
Berlangsung di Stadium Titiwangsa yang kini semakin dikenali sebagai Home of Sepaktakraw, kejohanan kali ini memperlihatkan perubahan ketara bukan sahaja daripada aspek penganjuran, malah peningkatan mutu permainan dan kemunculan kuasa baharu yang semakin mengancam dominasi tradisi Asia Tenggara.
Bendahari Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Dazma Shah Daud berkata, edisi kali ini boleh dianggap antara penganjuran terbaik pernah disaksikan, sekali gus memberi gambaran jelas bahawa sepak takraw sedang bergerak ke arah landskap lebih profesional.
Katanya, penglibatan syarikat korporat besar seperti Telekom Malaysia dan BHPetrol turut membawa dimensi baharu kepada imej sukan itu.
“Ini bukan lagi kejohanan yang dilihat dalam skop serantau semata-mata. Piala Dunia kali ini membuktikan sepak takraw sudah memasuki fasa baharu dengan nilai komersial, pengurusan dan tahap persaingan yang semakin tinggi,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran itu turut dipacu kepimpinan Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan bersama kerjasama erat Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) yang diterajui Datuk Abdul Halim Kader.
Namun apa yang lebih mencuri perhatian adalah perubahan landskap persaingan apabila negara bukan tradisi mula tampil sebagai ancaman sebenar.
India, Jepun dan Korea Selatan dilihat tidak lagi hadir sekadar melengkapkan senarai penyertaan, sebaliknya menunjukkan peningkatan ketara dari segi intensiti permainan, kecergasan dan disiplin taktikal.
India mencetus sensasi apabila mara ke pentas final acara kuadran sebelum tunduk kepada Malaysia, manakala Jepun dan Korea Selatan pula semakin memperagakan corak permainan moden yang mampu menggugat pasukan elit.
Situasi itu jelas menggambarkan jurang penguasaan antara negara Asia Tenggara dan pencabar luar semakin mengecil.
Perkembangan tersebut juga menjadi petanda positif bahawa usaha memperluaskan pengaruh sepak takraw di Asia Timur dan Asia Selatan mula membuahkan hasil.
Dazma percaya kejayaan Piala Dunia di Kuala Lumpur kali ini boleh menjadi titik penting dalam misi lebih besar iaitu membawa sepak takraw menembusi pentas Olimpik suatu hari nanti.-UTUSAN










