PETALING JAYA: Tekanan hebat daripada peminat dan pihak pengurusan menjadi tonik penting buat skuad kuadran negara yang berjaya melakar sejarah menjuarai acara kuadran pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, kelmarin.
Kapten kuadran negara, Amirul Zazwan Amir mengakui perjalanan menuju gelaran dunia itu bukan sesuatu yang mudah apabila mereka hampir tersingkir di peringkat kumpulan sebelum bangkit melakar kejayaan penuh dramatik di laman sendiri.
Katanya, kejayaan itu menjadi detik paling manis dalam kariernya selepas pasukan terpaksa mengharungi pelbagai cabaran termasuk tekanan daripada luar gelanggang serta perubahan taktikal pada saat akhir.
“Pertama sekali saya nak ucap syukur Alhamdulillah. Kami berjaya menjadi juara di tempat sendiri dan ini pengalaman paling manis dalam hidup saya.
“Perjalanan kuadran kali ini memang sukar. Tahun lalu kami lebih banyak menggunakan taktikal blocking kaki, tetapi kali ini kami hanya sempat berlatih blocking badan kira-kira seminggu sahaja dan dalam masa sama kami juga ditekan habis-habisan.
“Tetapi saya rasa semua pemain menjalankan tugas dengan sangat baik untuk memastikan kemenangan malam ini,” katanya.
Amirul berkata, skuad negara sedar kelemahan yang dimiliki dan berusaha memperbaikinya sedikit demi sedikit sehingga akhirnya berjaya merealisasikan misi yang telah lama menjadi sasaran utama pasukan.
“Kami sedar kekurangan kami dan cuba perbaiki dari semasa ke semasa. Hari ini semua pemain membuktikan kemampuan masing-masing.
“Tekanan memang ada, tetapi kami anggap ini peluang untuk cipta sejarah di tanah air sendiri. Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya,” katanya.
Untuk rekod, skuad negara berjaya memahat satu lagi pencapaian menjuarai kejohanan dunia selepas pernah menjuarai kejohanan Piala Asia 2025 di venue yang sama. – UTUSAN










